200,000 rumah mampu milik di Selangor menjelang 2028 - Exco
- Suara Keadilan

- Aug 3
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited terus menjadi peneraju agenda perumahan rakyat melalui akses perumahan mampu milik yang lebih inklusif.
Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Borhan Aman Shah (gambar) berkata, Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman mampu milik menjelang 2028 selari aspirasi Kerajaan MADANI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Selangor menyahut saranan Perdana Menteri untuk membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035. Kita di Selangor mendahului dengan pembinaan lebih 76,000 unit.
"Kita yakin akan mencapai sasaran 200,000 unit dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya dipetik.
Borhan ditemui semasa Majlis Penyerahan Bayaran Prinsipal kepada pembeli Rumah Selangorku Residensi Jaya di Seri Kembangan pada Sabtu.
Dalam pembentangan RMK-13 di Dewan Rakyat Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran sejuta rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10 tahun bermula 2026 hingga 2035.
Inisiatif tersebut bakal digerakkan melalui program seperti Residensi Madani, Perumahan Penjawat Awam, Bantuan Bina Baharu Rumah dan Program Perumahan Mampu Milik.
Sementara itu menurut Borhan, Kerajaan Selangor akan terus mengoptimumkan pelbagai program sedia ada seperti Rumah Selangorku, termasuk memperkenalkan konsep pembangunan bercampur dan penggunaan teknologi hijau.
"Agenda ini bukan sekadar soal membina rumah, tetapi menyediakan kediaman yang benar-benar selesa, kondusif dan lestari untuk rakyat," jelas beliau lagi.









Comments