top of page

194 peserta meriahkan Kejohanan Catur Harapan Terbuka Lumut 2026

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
56 minutes ago
2 min read
Peserta cilik menerima hadiah dalam Kejohanan Catur Harapan Terbuka Lumut 2026
Peserta cilik menerima hadiah dalam Kejohanan Catur Harapan Terbuka Lumut 2026

Seramai 194 peserta menyertai Kejohanan Catur Harapan Terbuka Lumut 2026 yang berlangsung di Lotus’s Manjung, dengan majoritinya terdiri daripada pemain muda berusia 12 dan 16 tahun.


Ketua Komuniti MADANI Bandar Seri Manjung, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, sebanyak 160 peserta atau hampir 83 peratus daripada keseluruhan peserta merupakan pemain dalam kategori bawah 12 tahun dan bawah 16 tahun.


"Memang meriah tengok budak-budak dari pagi sampai petang duduk depan chessboard, fikir strategi, menang, kalah atau seri… kemudian sambung pula round seterusnya," kata beliau dalam kenyataan.


Dalam kategori Terbuka, pemain Perak, Nirish Kumar A/L Siva Kumar muncul juara selepas mengumpul 6.5 mata daripada tujuh pusingan.


Nirish yang baru membawa pulang pingat emas E-Chess SUKMA Selangor 2026 turut membawa pingat berkenaan ke kejohanan itu, sekali gus memberi peluang kepada pemain muda bertemu secara langsung dengan atlet yang mempunyai pengalaman di pentas SUKMA.


Nirish menduduki tempat pertama diikuti Harith Kamil Zafri dan Triston Ting Ji Yan yang masing-masing mengumpul enam mata.


Bagi kategori bawah 12 tahun, Tan Kuan Ming mencatat prestasi sempurna apabila memenangi kesemua tujuh perlawanannya untuk mengumpul 7.0 mata.


Mengesankan... bakat muda berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam arena catur
Mengesankan... bakat muda berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam arena catur

"Dalam kategori yang mempunyai 94 peserta, dia berjaya menang kesemua tujuh perlawanannya. Tan Kuan Ming – 7.0, Ammar Ridhwan – 6.0, Syed Muhammad Azka – 6.0," katanya.


Kategori bawah 16 tahun pula menyaksikan Sue Anne Tan muncul juara dengan kutipan 6.5 mata daripada tujuh pusingan, diikuti Manish A/L Dhanpal Rajkumar dan Muhammad Rayyan Mifzal yang masing-masing mengumpul enam mata.


Mohd Ikhmal berkata, kejohanan itu turut menyaksikan kehadiran Pengurus Pasukan Catur SUKMA Selangor 2026, Hazrul Muriza, selain Papan Catur SUKMA Selangor 2026 turut dijual sepanjang pertandingan.


Menurutnya, pertandingan bermula sekitar 8.30 pagi dan berakhir hampir 6 petang dengan tujuh pusingan dipertandingkan.


"Ada yang tersenyum lepas game. Ada juga yang kecewa sebab tersilap satu langkah. Yang penting – datang, main, belajar dan cuba lagi," ujarnya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CLR Abdul Razak Nazri, Ahli Majlis MPM Zon 4 yang hadir menyempurnakan perasmian, selain JKP MPM Zon 4, Lotus’s Manjung selaku penaja lokasi, Kelab Sukan dan Rekreasi MADANI, arbiter, kru, sukarelawan, sekolah, ibu bapa serta semua peserta.


Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000.


Bagaimanapun, Mohd Ikhmal berkata nilai paling besar kejohanan tersebut bukan sekadar hadiah wang tunai, sebaliknya peluang mencungkil bakat baharu dalam sukan catur.


"Hadiah RM5,000. Tapi bagi saya, yang lebih penting ialah melihat begitu ramai pemain muda sanggup menghabiskan satu hari untuk bermain catur.


"Kalau daripada 194 orang ini nanti ada beberapa orang yang terus bermain, terus berlatih dan suatu hari nanti mewakili Perak atau Malaysia… itu lagi mahal daripada RM5,000," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page