193 negara pilih Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat 2025-2027
- Suara Keadilan

- Jun 1
- 1 min read

Malaysia secara rasmi dipilih Presiden sesi ketiga Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi tempoh 2025-2027.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemilihan itu yang menyaksikan Malaysia turut dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif badan itu bagi tempoh 2027-2029 dibuat secara sebulat suara pada Perhimpunan UN-Habitat yang bersidang pada 30 Mei di Nairobi, Kenya.
"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming akan mewakili Malaysia dan mempengerusikan Perhimpunan UN-Habitat sebagai Presiden bagi tempoh dua tahun.
"Kementerian Luar, khususnya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi selaku Wakil Tetap Malaysia ke UN-Habitat, akan terus menjalin kerjasama erat dengan KPKT bagi memastikan tugasan Malaysia dalam tadbir urus badan dunia itu mencapai kejayaan cemerlang.
"Malaysia merakamkan penghargaan kepada kesemua 193 Negara Anggota Perhimpunan UN-Habitat atas sokongan padu dan keyakinan yang diberikan," menurut kenyataan itu.
Kor Ming sebelum ini mengetuai delegasi Malaysia ke Nairobi untuk menghadiri persidangan yang berfungsi untuk menetapkan hala tuju dasar pembangunan bandar mampan dan penempatan manusia.
Delegasi Malaysia diberi penghormatan menyampaikan enam ucapan termasuk ucaptama di persidangan global ini, sekali gus mencipta sejarah mengangkat martabat negara.
Sementara itu, Nga menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pemilihan Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat akan meletakkan negara ke satu kedudukan baharu di persada antarabangsa.
Justeru Malaysia bakal menjalin kerjasama rapat dengan Lembaga Eksekutif UN-Habitat serta rakan kongsi global untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala, mempromosikan bandar inklusif, berdaya tahan iklim dan mampan di seluruh dunia.









Comments