18 keluarga mangsa kebakaran Putra Heights terima kunci rumah
- Suara Keadilan

- 13 minutes ago
- 2 min read

Seramai 18 keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya pada 1 April lalu akhirnya menarik nafas lega setelah kediaman mereka berjaya di baik pulih dan dibina semula sepenuhnya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dalam satu Majlis Penyerahan Kunci kepada penduduk berkata, kerja pembinaan bermula pada Jun.
Setakat akhir November, sebanyak 15 rumah jelasnya telah berjaya siap sepenuhnya manakala tiga lagi menunggu proses dokumentasi pemilik.
"Projek pemulihan dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) itu melibatkan peruntukan RM4.85 juta daripada Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
"Kerajaan MADANI bertindak pantas bagi memberikan harapan baharu kepada mangsa. Ini komitmen kita untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela," katanya dipetik.
Dalam insiden tersebut, sebanyak 219 unit rumah terjejas, membabitkan 81 unit mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan 138 unit rosak kurang daripada 40 peratus.
April lalu, Kor Ming mengumumkan kerajaan menerusi kementeriannya memperuntukkan RM46 juta bagi proses baik pulih rumah dan infrastruktur awam kawasan tersebut.
Daripada jumlah itu, RM40 juta disalurkan menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bagi membaik pulih rumah terjejas, manakala bakinya diperuntukkan untuk kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Tiga kategori kerosakan rumah yang dikenal pasti, iaitu rumah rosak teruk dan perlu dibina semula dibiayai peruntukan dengan kos siling RM300,000, manakala bagi yang tidak perlu dibina semula, tetapi rosak melebihi 40 peratus, kos baik pulih adalah RM150,000 dan bagi kerosakan bawah 40 peratus, kos siling ditetapkan RM30,000.
Selain KPKT, Kerajaan Selangor turut membantu penduduk dengan memberikan bantuan sewa rumah sementara bagi memastikan mangsa mendapat tempat perlindungan sewajarnya sehingga kerja baik pulih kediaman mereka siap.









Comments