17 kerusi DUN baharu Sarawak: Ambil kira komposisi kaum, pembangunan pedalaman
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Cadangan pengwujudan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Sarawak perlu dilaksanakan secara telus dan adil dengan mengambil kira komposisi kaum, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan kawasan pedalaman.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata, kajian semula persempadanan dan penambahan kerusi DUN haruslah berpaksikan kepentingan rakyat secara saksama.
"Saya menyambut baik usaha pelaksanaan kajian semula persempadanan semula dan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
"Walau bagaimanapun, proses penambahan 17 kerusi DUN baharu ini mesti dilakukan secara telus, saksama, dan berpaksikan kepentingan rakyat secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pengwujudan kerusi baharu perlu mengambil kira komposisi kaum serta rancangan pembangunan lebih agresif di kawasan yang masih mundur, khususnya pedalaman.
"Kita mahu memastikan tiada komuniti atau wilayah yang tercicir daripada arus pemodenan dan limpahan ekonomi wilayah Sarawak," ujarnya.
Roland berkata sekiranya 17 kerusi baharu berjaya diwujudkan, jumlah keseluruhan 99 kerusi DUN Sarawak perlu mencerminkan representasi yang adil bagi semua kaum di negeri itu.
Beliau turut mencadangkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan penambahan Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil baharu selari dengan pertambahan kerusi DUN.
"Selari dengan pertambahan kerusi DUN, Kerajaan Sarawak juga wajar memikirkan keperluan untuk menambah Bahagian, Daerah, dan Daerah Kecil yang baharu.
"Khususnya bagi Zon Utara dan Zon Tengah Sarawak, penambahan entiti pentadbiran ini amat diperlukan bagi mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan memandangkan keluasan wilayah serta cabaran geografi di kawasan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Roland mengingatkan supaya penambahan kerusi DUN tidak menimbulkan tanggapan bahawa langkah berkenaan hanya bertujuan mengukuhkan representasi kaum atau pihak tertentu.
"Kita tidak mahu pengwujudan kerusi baharu DUN Sarawak ini dipandang serong oleh rakyat, seolah-olah ia sekadar bertujuan mengukuhkan representasi kaum atau pihak tertentu sahaja.
"Sebaliknya, rakyat Sarawak mengimpikan sebuah wilayah yang adil dan inklusif untuk semua kaum, di mana setiap lapisan masyarakat merasai nilai keterangkuman dalam pentadbiran dan politik negeri," katanya lagi.
Beliau berkata KEADILAN akan terus memperjuangkan hak dan masa depan seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum dan geografi.
