16 rakyat Malaysia diculik Israel, PM mahu pembebasan segera
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 2 min read

Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis misi kemanusiaan, Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang dipintas dan ditahan oleh rejim Zionis Israel pada petang Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan menyifatkan tindakan rejim terhadap misi bantuan kemanusiaan itu sebagai kurang ajar.
"Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta pihak yang membawa bantuan kemanusiaan," katanya.
Terdahulu, tentera Israel dilapor memintas dan menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, dipetik laporan media berkata, semua 16 rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal, yang menjadi sebahagian daripada 15 yang dilaporkan dipintas dan diceroboh.
Dua kapal turut ditahan tentera Israel membabitkan delegasi Sumud Nusantara dari Pakistan, Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad di atas kapal Zio Faster dan delegasi Indonesia, Andi Anga Prasadewa dari kapal Josef.
"Kedudukan flotilla ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.
"SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk lakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media.
"SNCC turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza," katanya.
Sementara itu menurut beliau, 37 kapal flotilla yang membawa 13 lagi rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza, walaupun berdepan risiko keselamatan tinggi susulan ancaman pemintasan dan tindakan agresif berterusan tentera Israel.
"SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla," tambahnya.



Comments