top of page

15 juta peranti disasar diurus secara lestari menjelang 2030

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
2 hours ago
2 min read
DS Fahmi menyempurnakan pelancaran LESTARI
DS Fahmi menyempurnakan pelancaran LESTARI

Sebanyak 15 juta peranti disasarkan untuk diurus secara lestari menjelang 2030 menerusi pelaksanaan LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) yang dilancarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).


Rangka kerja strategik itu diperkenalkan bagi menggerakkan agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia, termasuk telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier, dengan penglibatan pemain industri.


Melalui sasaran tersebut, peranti yang masih sesuai digunakan akan diguna semula atau dibaik pulih, manakala peranti yang memerlukan peningkatan teknologi boleh dinaik taraf atau diganti dengan teknologi yang lebih cekap.


Peranti yang telah mencapai akhir hayat pula akan dikitar semula secara bertanggungjawab, sekali gus menyokong usaha mengurangkan sisa elektronik (e-sisa) serta menggunakan sumber secara lebih cekap.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyempurnakan pelancaran LESTARI yang turut menyokong aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.


Selain sasaran 15 juta peranti, LESTARI turut menyasarkan manfaat kepada 5 juta rakyat melalui pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan MCMC bersama pemain industri.


LESTARI dibangunkan melalui sesi libat urus yang melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi dan berlandaskan tiga teras utama.


Pertama, Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar yang merangkumi kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur.


Kedua, Impak Sosial dan Keterangkuman dengan tumpuan kepada keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat.


Ketiga, Teknologi dan Inovasi yang merangkumi penggunaan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi rendah karbon bagi mempercepatkan penyelesaian kelestarian.


Pada masa sama, Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) turut diperkenalkan sebagai platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti.


Sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA sebagai tanda komitmen awal terhadap agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia.


Pelaksanaan LESTARI dijangka menyumbang kepada pengurangan e-sisa, peningkatan kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, penggunaan sumber yang lebih cekap serta akses teknologi yang lebih inklusif menjelang 2030.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page