top of page

132 pelan PuTERA35 dalam RMK13, pembangkang membaca atau tidak?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 8
  • 2 min read

ree

Pembangkang mengkritik kononnya Kerajaan Perpaduan mengabaikan Bumiputera dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) amat diragui tahap pembacaan dan pemahaman mereka.


Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen pembangkang yang membahas dokumen RMK13 mungkin tidak membacanya terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan di Dewan Rakyat bahawa kepentingan pembangunan untuk orang Melayu dikesampingkan.


"Saya ucapkan tahniah kepada pihak pembangkang khususnya Ahli Parlimen kerana berjaya membuktikan satu perkara – mereka pandai menuduh.


"Hakikatnya mereka malas membaca keseluruhan teks ucapan Perdana Menteri dan buku pembentangan RMK13," katanya dalam kenyataan.


Beliau menyifatkan tuduhan itu lebih berbahaya apabila dikaitkan dengan peristiwa 13 Mei 1969 yang kononnya menimbulkan kemarahan orang Melayu apabila kepentingan mereka tidak dijaga.


"Kelompok ini seolah-olah baru sedar orang Melayu wujud selepas mereka hilang kuasa," sindirnya.


Jelas Mahfuz lagi, RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri jelas memperuntukkan jumlah terbesar dalam sejarah negara untuk Bumiputera, termasuk peruntukan mega membangunkan tanah Rizab Melayu di bandar serta pelaksanaan Pelan PuTERA35 bagi meningkatkan penguasaan bumiputera dalam sektor strategik.


"Sebanyak 132 inisiatif hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2035 (PuTERA35) telah diterapkan dalam RMK13. Ini bukan retorik di pentas ceramah, ini angka hitam putih dalam dokumen rasmi negara," tegasnya.


Beliau menambah, pelbagai program turut menyasarkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi oleh orang Melayu, namun masih ada pihak yang melaungkan “Kerajaan Madani tak bela Melayu”.


"Persoalannya, mereka baca RMK13 atau tidak? Atau mereka takut rakyat tahu tuduhan mereka itu cuma cerita kosong untuk sedap tepuk tangan ceramah?" soal Mahfuz.


Mahfuz menegaskan bahawa majoriti penerima manfaat RMK13 adalah bumiputera, namun pembangkang didakwanya lebih gemar mengulangi fitnah lama.


"Kepada pemimpin politik pembangkang yang berpura-pura menjadi jaguh bangsa – jangan jadi pejuang papan kekunci yang buta huruf terhadap dokumen negara. Rakyat sudah penat dengan slogan kosong,” katanya.


"Kerajaan Madani memilih untuk bekerja, bukan berdrama. Fakta tidak boleh dipusing, walau lidah selembut mana pun memutar ayat. RMK13 akan terus menjadi bukti kononnya pejuang Melayu itu hanyalah pelakon utama dalam pentas wayang kulit politik," ujar beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page