132 atlet SUKMA disasar beraksi di Sukan SEA - KBS
- Redzuan Shamsudin

- 59 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kenal pasti 132 atlet berpotensi untuk dipertimbangkan menyertai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) dalam kenyataan berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 59 atlet lelaki dan 73 wanita yang dikenal pasti berdasarkan prestasi yang ditampilkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menurutnya, pihaknya akan terus memantau dan menilai atlet terbabit berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara.
"SUKMA XXII Selangor 2026 membuktikan temasya itu bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet muda terbaik negara, malah berperanan sebagai platform penting untuk mengenal pasti, mencungkil dan membangunkan bakat baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan negara," katanya.
Mengulas lanjut Mohammed Taufiq menjelaskan, pencapaian atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) pada SUKMA kali ini turut amat membanggakan.
Seramai 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa menyumbang keseluruhan 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.
Sebanyak 37 rekod baharu SUKMA dicatat pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN.
"Seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN menyertai SUKMA kali ini, dengan 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing," menurutnya.
"Pencapaian itu menunjukkan program pembangunan atlet MSN terus memberikan impak positif sebagai satu rantaian pembangunan sukan berterusan, bermula daripada pengenalpastian bakat, pembangunan atlet pelapis sehingga ke program prestasi tinggi negara," menurutnya.




Comments