130,000 pelajar dapat manfaat program tuisyen rakyat Selangor
- Suara Keadilan
- Mar 6, 2024
- 1 min read

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan terus ditambah baik dengan pembangunan pembelajaran secara digital menerusi aplikasi telefon pintar, kata Menteri Besar.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembangunan aplikasi yang dilaksanakan tahun ini akan memberikan lebih akses kepada pelajar untuk mengikuti kandungan dan pembelajaran terutama calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata program itu turut ditambah baik dengan saluran video secara langsung bagi memudahkan komunikasi antara guru dan pelajar.
"Saya gembira melihat perkembangan dari sudut kandungan pembelajaran, kaedah pembentukan video hinggalah aplikasi mudah alih. Portal ini boleh diakses melalui www.eptrs.my.
"Ini hasil kemahiran dalaman melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI," katanya ketika menjawab soalan Dr R Gunarajah (PH-Sentosa) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin memberitahu, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 130,000 pelajar dapat menerima manfaat daripada program pembelajaran digital itu tahun ini, iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 65,000 tahun lepas.
PTRS juga diperluaskan kepada pelajar tingkatan empat dari 277 sekolah menengah termasuk aliran agama melibatkan golongan dari keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
"MBI juga bercadang melakukan intervensi kepada pelajar sekolah rendah yang mengalami masalah 3M (membaca, mengira, mengeja) antara lain disebabkan pandemik bagi mengelakkan kelompok pelajar tersisih," katanya.
Diperkenalkan pada 2009, PTRS adalah bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Comentarios