13 kerusi DUN: Autonomi KEADILAN Sabah tetap dihormati - Junaidah
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Tindakan Ketua Penerangan parti STAR yang mempertikai pengumuman Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar bahawa parti itu mahu bertanding di 13 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kononnya mengenepikan autonomi KEADILAN Sabah dianggap retorik politik yang tersasar daripada fakta.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Junaidah Makku @ Junn, beliau sebaliknya menyokong penjelasan Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin yang berkata KEADILAN negeri tetap diberi hak berunding dan akan mengetengahkan sepenuhnya calon tempatan, tanpa dipengaruhi pusat.
"Saya mengambil maklum kenyataan balas Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin berhubung dakwaan tidak berasas oleh Ketua Penerangan STAR Sabah, Anuar Ghani.
"Saya juga menyokong penuh gesaan Timbalan Presiden KEADILAN bahawa parti menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN dalam PRN Sabah yang akan datang
"Saya sendiri pernah berbincang dengan Saudara Razeef, memandangkan beliau merupakan salah seorang juru runding kerusi bagi KEADILAN.
"Sebagai pendokong parti, sudah tentu kita mahu KEADILAN bertanding lebih banyak kerusi. Namun secara realistik, sekiranya berlaku pembentukan gabungan besar, 13 kerusi merupakan jumlah yang signifikan, mengambil kira agihan kerusi kepada rakan-rakan komponen Pakatan Harapan seperti DAP, UPKO dan Amanah," kata Junn dalam kenyataan.
Minggu lalu, Nurul Izzah Anwar dalam majlis pelancaran jentera KEADILAN Sabah membayangkan parti itu akan bertanding sebanyak 13 kerusi DUN.
Pengumuman itu dianggap sesetengah pihak sebagai mencampuri urusan politik Sabah dan tidak menghormati Perjanjian Malaysia (MA63) yang memberi pelbagai autonomi kepada negeri itu termasuk dalam politik.
"Pengumuman yang dibuat oleh Nurul Izzah Anwar tidak sama sekali mengenepikan autonomi KEADILAN Sabah. Proses rundingan kerusi diberi sepenuhnya kepada KEADILAN dan PH Sabah, dan keputusan muktamad hanya akan diumumkan oleh Presiden selepas rundingan dimuktamadkan.
"Tindakan Anuar Ghani jelas dilihat sebagai cubaan menunggang sentimen tempatan, walhal Pakatan Harapan sentiasa membuka ruang kepada parti-parti tempatan yang ingin bekerjasama.
"Malah kenyataan beliau memperkecilkan kewibawaan pimpinan KEADILAN Sabah yang terdiri daripada anak jati negeri ini," kata Junn lagi.
Tambah beliau, walaupun KEADILAN menyasarkan antara 10 hingga 14 kerusi, sasaran tersebut turut merangkumi penyertaan sekurang-kurangnya 30% calon wanita, selaras dengan komitmen parti terhadap kepimpinan inklusif.
"Bagi pemilihan calon pula, KEADILAN mempunyai jawatankuasa penilai KPI bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak dan berwibawa diangkat untuk bertanding, di samping kesiapsiagaan jentera yang terus diperkukuh.
"Dengan sokongan rakyat dan pencapaian Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yakin KEADILAN bersama Pakatan Harapan akan berjaya menambah bilangan kerusi yang dimenangi pada PRN Sabah yang akan datang," kata Ketua Wanita KEADILAN Sipitang itu lagi.
Untuk rekod, PRN Sabah dijangka akan diadakankan selepas Ogos depan, dan Pakatan Harapan telahpun mengumumkan gabungan bersama BN menghadapi pilihanraya tersebut.
Rundingan masih dilakukan dengan GRS untuk mewujudkan satu gabungan besar politik bagi meneruskan kesinabungan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di sana.