124 kanak-kanak GISBH didaftar ikuti sesi persekolahan


Seramai 124 kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Selangor sudah didaftarkan untuk mengikuti sesi persekolahan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan mereka menerima akses pendidikan sekali gus membolehkan mereka meneruskan kehidupan dalam persekitaran masyarakat yang lebih teratur.
"Dari sudut kebajikan pula, sebanyak 64 keluarga kanak-kanak yang memenuhi syarat kelayakan turut diberikan bantuan kebajikan yang bersesuaian, termasuk Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Anak Pelihara dan bantuan berkaitan orang kurang upaya (OKU).
"Bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terus terpelihara, JKM Selangor melaksanakan pemantauan dan penyeliaan secara berterusan melalui lawatan fizikal serta pemantauan dalam talian oleh Pegawai Pelindung Kanak-Kanak," katanya dipetik pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.
Sebelum ini, polis melancarkan siri serbuan berskala besar menerusi Op Global pada September 2024 terhadap ratusan premis, rumah amal dan perniagaan berkaitan GISBH di seluruh negara atas pelbagai kesalahan eksploitasi, pengubahan wang haram, dan dakwaan ajaran sesat.
Secara keseluruhan, seramai 662 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan pihak berkuasa dalam operasi tersebut.
Sementara itu Anfaal memaklumkan, sebanyak 29 premis rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH telah diperiksa, dengan 10 premis dikenal pasti beroperasi sebagai pusat jagaan.
Tiga pusat jagaan berdaftar dikenakan perintah penutupan dibawah Seksyen 15(1) Akta Pusat Jagaan 1993, manakala tujuh pusat jagaan yang tidak berdaftar dikenakan tindakan dibawah Seksyen 16A akta sama.|




Comments