
Sebanyak 12,300 doktor kontrak dijangka akan diserap ke jawatan tetap dalam tempoh 3 tahun.
Hal itu dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pertanyaan pertanyaan Menteri sesi pagi Dewan Rakyat.
"Pada tahun ini, kita jangka 4,300 doktor kontrak diserap
"Namun untuk menyelesaikan isu ini pada tahun ini, kita tidak mampu, tetapi apa yang boleh kita lakukan adalah dengan (sediakan) peruntukan tambahan RM1.7 bilion daripada RM3 bilion emolumen untuk Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2023," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Madius Tangau (PH - Tuaran).
Kepada doktor konrak PM merayu agar bersabar kerana kerajaan sedang berusaha secara tahun demi tahun untuk menyerapkan mereka ke perjawatan tetap.
"Kita jangkakan kalau ini dapat dilakukan dalam 3 tahun kita dapat menyerap 12,800 doktor kontrak yang ada sekarang.
"Kerana tahun ini kita menyerap 4,300 sekali gus," katanya yang menambah terdapat 20,330 doktor lantikan kontrak dalam rekod Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu kerajaan juga bersetuju supaya elaun ‘on call’ diperluas kepada pegawai perubatan di enam klinik kesihatan yang terlibat dalam projek rintis bagi menangani kesesakan di hospital.
"Kerajaan bersetuju bahawa elaun tugas pegawai perubatan selepas waktu pejabat yang ‘on call’ di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital dan waktu peluasan dipanjangkan merangkumi hari kelepasan mingguan.
"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mengkaji kemudahan ini supaya ia dipanjangkan kepada semua selain pegawai perubatan," katanya menjawab soalan tambahan Tuaran.