117 pedofil ditahan, 1.4 juta fail porno dirampas: Perketat pengesahan umur media sosial
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Malaysia berdepan ancaman serius jenayah seksual kanak-kanak dalam talian apabila sebanyak 117 individu berkaitan aktiviti pedofilia ditahan dalam tempoh dua tahun menerusi operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut statistik pihak berkuasa, operasi yang dijalankan sejak 2024 hingga 2026 itu turut menyaksikan rampasan lebih 1.47 juta fail digital pornografi, termasuk sekurang-kurangnya 204,934 fail bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang disahkan.
Sebanyak 117 tangkapan dibuat melibatkan 162 lokasi serbuan, dengan 272 peranti dirampas, manakala 101 individu telah didakwa.
Data berkenaan jelas menunjukkan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang kini berada pada tahap membimbangkan serta bersifat tersusun dan semakin serius.
Sehubungan itu, cadangan kerajaan untuk melaksanakan pengesahan umur bagi pengguna bawah umur 16 tahun di platform media sosial dalam tempoh dua tahun dilihat sebagai langkah penting bagi melindungi golongan tersebut.
"Melihat kepada skala ancaman ini, langkah pengesahan umur bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan keselamatan," kata sumber berkenaan.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuklah pendedahan kepada kandungan pornografi ekstrem, aktiviti ‘grooming’, manipulasi seksual serta interaksi tidak selamat yang membuka ruang kepada pemangsaan digital oleh pedofil.
Sumber itu menegaskan bahawa inisiatif pengesahan umur bukan bertujuan menyekat akses kanak-kanak kepada teknologi, sebaliknya memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam menyediakan persekitaran selamat.
Dalam pada itu, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, penyedia platform, ibu bapa dan masyarakat amat diperlukan bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
"Apabila lebih 200,000 kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak berjaya dikesan dan lebih 100 pedofil ditahan dalam tempoh dua tahun, ini bukan lagi isu kecil. Ini ancaman serius terhadap keselamatan anak-anak kita," kata sumber itu lagi.
Justeru itu, keselamatan kanak-kanak dalam talian mesti dijadikan keutamaan nasional.




Comments