110 peserta sertai bengkel AI DUN Kajang, perkasa kemahiran digital


Seramai 110 peserta daripada pelbagai peringkat usia termasuk warga emas berusia 73 tahun, menyertai Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi meningkatkan kemahiran digital, sekali gus membuktikan teknologi berkenaan bukan lagi eksklusif hanya untuk golongan muda.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang untuk memperluas peluang pembelajaran digital kepada masyarakat pelbagai peringkat umur.
Beliau berkata, melalui latihan amali dan bimbingan tenaga pengajar, peserta juga diberi ruang untuk mencuba, bertanya dan membina keyakinan menggunakan teknologi AI.
"Peserta warga emas paling senior yang menyertai bengkel ini ialah Junaidah Tukimin, berusia 73 tahun. Semangat beliau untuk terus belajar dan meneroka teknologi baharu mencerminkan nilai pembelajaran sepanjang hayat.
"Penyertaan beliau menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu, mencuba perkara baharu dan meningkatkan kemahiran digital," katanya dalam satu kenyataan.

Program versi Bahasa Malaysia yang berlangsung di Kolej Universiti New Era, Kajang pada 3 dan 4 Oktober lalu itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang dengan kerjasama kolej berkenaan dan disempurnakan oleh David Cheong.
Menurut David Cheong lagi, sebelum ini bengkel AI dalam Bahasa Cina dan Tamil juga telah berlangsung bagi memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang mempelajari penggunaan teknologi berkenaan, sebelum siri berkenaan diteruskan dalam Bahasa Malaysia.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada tenaga pengajar daripada Kolej Universiti New Era, Penolong Profesor Dr Widura Abd Kadir, Rozlinda Radzali dan Cheong Choi Yen, atas perkongsian ilmu, bimbingan serta kesabaran sepanjang bengkel berlangsung.
"Penghargaan turut diberikan kepada pihak Kolej Universiti New Era atas kerjasama yang diberikan, serta seluruh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang atas komitmen dan usaha menjayakan program ini.
"Terima kasih juga kepada kesemua 110 peserta atas penyertaan dan semangat untuk mempelajari kemahiran baharu.
"Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam urusan harian, perniagaan dan dikongsikan bersama keluarga serta komuniti," ujar beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Negeri Selangor.




Comments