10 Julai tarikh pengurusan saman Saifuddin terhadap Tam Jebat
- Suara Keadilan
- Jun 10
- 1 min read

Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan 10 Julai sebagai tarikh pengurusan kes saman fitnah yang difailkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap pengguna media sosial dikenali sebagai Tam Jebat.
Saman difailkan melalui firma guaman SN Nair & Partners selepas Tam Jebat atau nama sebenarnya Muhammad Zubair gagal memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari seperti dituntut melalui surat tuntutan (LOD) bertarikh 4 April.
Menerusi pemfailan mahkamah, Saifuddin mendakwa Zubair telah menggunakan saluran TikTok dan Facebook untuk mencemarkan nama baiknya melalui kenyataan itu palsu, berniat jahat dan fitnah
Senator itu mendakwa, Zubair antara lain telah menuduhnya mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu
Tuduhan itu cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam.
"Ia menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politik, menyebabkan dicemuh dan diganggu dalam talian," kata tuntutan tersebut.
Selain itu Saifuddin turut mendakwa Zubair menerusi TikTok, yang ditonton lebih 65,000 kali melakukan ejekan terhadap Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 sekali beri kepada pemain bola sepak KDA FC sempena Aidilfitri
Hantaran itu juga secara palsu membayangkan beliau bertindak biadab dengan tidak melibatkan pemilik kelab ketika memberi sumbangan.
Sehubungan itu Saifuddin mahu mahkamah memerintahkan Zubair menurunkan hantaran berunsur fitnah itu, dan ganti rugi itu termasuk faedah 5% serta kos guaman.
Terdahulu, pada 25 Mac, Saifuddin dilapor mengadakan pertemuan dengan pemilik Kedah FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar, bagi membincangkan hala tuju kelab itu ekoran isu tunggakan gaji,.
Pertemuan itu diadakan atas kapasiti minat peribadinya terhadap pasukan bola sepak Kedah.
Comments