top of page

1,399 projek perumahan swasta dipulihkan, GDV cecah RM133.78 bilion

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 31
  • 1 min read

Sebanyak 167,423 unit rumah melibatkan 1,399 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bil. 1/2023, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM133.78 bilion.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar), berkata daripada jumlah tersebut, 109 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, manakala 1,265 projek telah disiapkan sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).


"Selain itu, 34 projek terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal atau penyelesaian melibatkan pembeli," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat TFST di Putrajaya, semalam.


Aiman Athirah sementara itu memaklumkan, sepanjang 2024 dan 2025 pemantauan serta lawatan telah dijalankan ke 68 projek, dengan 46 projek telah siap dan menerima CCC, manakala selebihnya berada dalam fasa penyiapan mengikut jadual yang ditetapkan.


Sementara itu, setakat 31 Disember lalu, sebanyak 161 projek lewat, 349 projek sakit dan 99 projek terbengkalai masih direkodkan di seluruh negara, namun kesemuanya berada dalam kawalan hasil pemantauan berterusan serta intervensi bersasar melalui TFST.


"Selangor, Johor, Perak dan Pahang antara negeri yang mencatatkan jumlah projek sakit dan lewat yang tinggi, berpunca daripada kekangan keupayaan kewangan pemaju susulan kesan pandemik Covid-19.


"Namun secara keseluruhan, jumlah projek terbengkalai menunjukkan penurunan yang memberangsangkan. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik antara TFST, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, penyedia utiliti serta pemaju," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page