Program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang diadakan secara dua siri pada 23 dan 30 Oktober lalu telah mencatat kejayaan membanggakan.
Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, jelajah yang masing-masing diadakan di Jublee Perak SUK dan di Kuala Selangor itu telah dihadiri lebih 1,000 peserta untuk ditemuduga.
"Dalam dua program tersebut seramai 1,108 peserta hadir untuk temuduga. Sebanyak 239 peserta atau 21.57% telah diterima bekerja.
"Manakala 513 peserta atau 46.29% telah layak untuk ke temuduga kedua.
"Sebanyak 55 majikan telah hadir dan di antara syarikat yang telah membuat pengambilan pekerja adalah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), SACC Convec Sdn Bhd, Assembly Services Sdn Bhd (UMW Toyota), SD Impex Sdn Bhd, Oldtown Kopitiam Sdn Bhd dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, tambah Khairuddin, oleh kerana sambutan yang menggalakkan Kerajaan Negeri akan menganjurkan 2 lagi siri Jelajah Selangor Bekerja di Daerah Hulu Selangor pada 6 November dan Daerah Petaling 20 November ini.
"Sasaran Kerajaan Negeri adalah untuk mengurangkan kadar pengganguran dari 4.4% pada tahun 2021 kepada 3.7% pada tahun 2022," katanya lagi.
Comments