
Kerajaan Negeri menyediakan bantuan kepada hampir 1,000 petani dan penternak di Selangor yang terjejas akibat banjir besar yang melanda pada hujung tahun lalu.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan itu adalah bagi mengurangkan kerugian petani di samping memastikan keselamatan bekalan makanan negeri terus terjamin.
"Akibat banjir Disember tahun lepas, hampir 1,000 para petani telah dibantu agar tanaman dan ternakan mereka dapat diusahakan semula.
"Bantuan ini bukan sahaja memulihkan pendapatan petani malah menjamin bekalan makanan rakyat.
"Kerajaan Negeri membelanjakan RM8.6 juta untuk memberi bantuan berbentuk input tanaman seperti baja, peralatan dan pembaikan infrastruktur termasuk makanan ternakan," katanya.
Tambah MB, kategori kerosakan juga dinilai secara teliti bagi memastikan tanaman dan ternakan terus dapat diusahakan.
