Mar 19, 20232 min

Negara berkembang jika anak muda berfikiran terbuka, kritis

Negara akan berkembang sekiranya anak muda yang menjadi tunggak generasi baharu mampu berfikiran kritis dan terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sesi Dialog Anak Muda: Temu Anwar di KL Convention Centre, KLCC, petang ini.

Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan mahu anak muda berfikiran terbuka dan tidak mahu mereka menjadi pentaksub dan lemah daya intelek.

"Negara boleh berkembang kalau kita boleh berfikir secara terbuka dan kritis. Negara boleh rosak kalau kita menjadi pengikut bebal yang tidak mampu berfikir. Hanya tunduk kepada arahan," kata beliau yang menjadi panel utama majlis.

Anwar turut mengambil kesempatan mengupas ayat al Quran, surah al Kahfi yang dibacakan pada pembukaan majlis berkenaan menjelaskan bahawa anak muda yang mempertahankan prinsip dan akidah akan diberi kejayaan di dunia dan akhirat.

"Allah menjelaskan dalam al quran 'akan Aku ceritakan kisah yang sebenar'. Apa dia cerita yang benar?

"Anak muda yang bangkit kerana keyakinan, kerana prinsip menolak rasuah, kebobrokan dan kezaliman. Kerana itu keyakinan mereka, prinsip mereka, Allah selamatkan mereka (pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun sehingga rejim bertukar).

"Dijelaskan sedikit lagi kerana terpahat di hati sanubari mereka keyakinan (bahawa) kuasa mutlak sebenarnya Allah yang Maha Besar, menjadikan langit dan bumi," katanya.

Ayat berkenaan menurut Anwar, memberi pengajaran kepada anak muda bahawa hidup hendaklah berteraskan nilai dan akhlak bagi mendapat keredaan yang Maha Pencipta.

"Maknanya hidup kita itu mesti berteraskan nilai, mesti tolak rasuah. Kalau saya sebagai orang bertanggungjawab jaga tatakelola, saya tidak boleh kompromi dengan orang yang mencuri harta rakyat.

"Ia tidak mudah (jaga prinsip). Mudah dibicara, sukar dilaksanakan. Kerana yang rasuah itu kaya raya, maha kaya. Punyai pengaruh yang kuat, boleh beli semua orang.

"Tetapi saya percaya kalau anak muda seperti hari ini, masa depan Malaysia inshaAllah akan cerah," katanya dan diberi tepukan gemuruh sebagai pembuka majlis.

    1