Feb 26, 20212 min

Agong mahu Parlimen bersidang, nasihat PM gantung Parlimen salah - Syed Ibrahim

Titah Yang di-Pertuan Agong kelmarin mahu sidang Parlimen dilaksanakan dalam tempoh darurat membuktikan tindakan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggantung Parlimen sebelum ini salah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian dalam sesi siaran langsung Facebook beliau malam tadi.

Menurutnya, Muhyiddin selepas ini tidak ada alasan lagi untuk tidak memanggil sidang Parlimen.

"Ini menunjukkan apa yang dilakukan kerajaan sebelum ini memberi nasihat ke atas Tuanku dalam keadaan darurat untuk menggantung Parlimen dan DUN adalah satu kesilapan.

"Kalau kita lihat kenyataan Istana Negara maka tidak ada asas untuk menggantung Parlimen dengan alasan darurat.

"Agong telah mengeluarkan kenyataan boleh bersidang. Jadi soalnya sekarang bilakah PM akan mengadap Agong menetapkan tarikh sidang?

"Kalau ikut tarikh sidang yang ditetapkan tahun lepas, Parlimen perlu bermula 8 Mac mengikut takwim.

"Apabila keluar perintah darurat maka tarikh itu sudah terjejas. Namun bolehkah tarikh itu dilangsungkan sidang? Itu terserah kepada PM. Hakikatnya Agong sudah pun menitahkan," katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu juga menjelaskan titah Agong berkisar kepada 3 cabang dalam sistem demokrasi berparlimen yang wajib dihormati oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, cabang Eksekutif (pentadbiran), Kehakiman dan Legislatif (penggubal dasar) tidak boleh bergerak sendirian.

Sekiranya cabang Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi seperti biasa maka Legislatif atau Parlimen juga perlu berjalan seperti sepatutnya.

"Ini selari dengan Perlembagan kita, sub (1) (14) (b) yang menyatakan Ordinan Darurat, Kuasa-kuasa Perlu 2021 menyebut bahawa Parlimen boleh dipanggil, diprorog, dibubar ikut kesesuaian oleh Agong di atas nasihat PM," katanya.

Syed Ibrahim dalam pada itu berterima kasih kepada Agong kerana mendengar suara rakyat dan para Ahli Parlimen pembangkang yang mahu perkara-perkara bersangkutan pemerintahan negara dibawa dan dibahaskan di Parlimen

"Jelas mungkin Tuanku mendapat nasihat, mendengar pandangan majoriti Ahli Parlimen pembangkang yang telah pun menghantar warkah kepada baginda bagi menarik balik penggantungan Parlimen dan dalam masa sama kita mencabar di peringkat mahkamah.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang telah pun mencabar (semakan kehakiman) mengapa Parlimen digantung dalam perintah darurat.

"Mungkin (selepas ini) kita boleh persoalkan asas kepada Parlimen digantung dahulu," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak PM Muhyiddin segera menetapkan tarikh memanggil sidang Parlimen, sama ada pada tarikh 8 Mac atau pun lebih awal daripada itu.

    0