top of page

Zon ekonomi sempadan M'sia-Thai pacu perdagangan, ekonomi kawasan utara - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah sempadan Malaysia-Thailand menerusi Rancangan Malaysia (RMK) Ke-13 bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung, sekali gus mengimbangi pembangunan yang sebelum ini lebih tertumpu di Lembah Klang dan selatan tanah air.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata strategi itu dilaksanakan melalui kerjasama erat dengan Thailand, termasuk pembentukan zon pembangunan ekonomi di kawasan sempadan yang akan membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.


Beliau berkata kerajaan menghargai komitmen Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang bersetuju memberi tumpuan kepada pembangunan di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.


Menurut Anwar, strategi itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah mempunyai dimensi keselamatan dengan merancakkan pembangunan di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.


"Strategi itu juga melibatkan strategi keselamatan, kerana apabila kita memberi tumpuan kepada kawasan tersisih di utara dan selatan Thailand, ia memberikan kesempatan pembangunan kepada rakyat," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) dalam sesi tanya jawab perdana menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.


Perdana Menteri berkata zon pembangunan ekonomi Malaysia-Thailand akan diperluaskan melibatkan beberapa pintu sempadan utama termasuk Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang dan kawasan pembangunan lain.


Beliau berkata kerjasama itu akan meningkatkan potensi perdagangan dua hala yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.


"Zon pembangunan ekonomi dengan Thailand ini tentunya bertujuan untuk buka ruang pembangunan yang lebih dan ini bukan sahaja Sadau (bandar di Wilayah Songkhla, selatan Thailand) dan bukit kayu hitam yang dirasmikan PM Thailand bersama (PM Malaysia) beberapa hari lalu tetapi juga Rantau Panjang," katanya.


Anwar turut memaklumkan bahawa Thailand bersetuju melonggarkan beberapa sekatan kastam yang sebelum ini menghalang produk Malaysia memasuki pasaran Laos, Kemboja dan Vietnam melalui negara itu.


"Dengan perjanjian terbaru ini PM Thailand bersetuju memberi kelonggaran, maknanya perluang perdagangan untuk Malaysia dalam bidang perikanan dan pertanian untuk melepasi sekatan kastam itu dapat dikendalikan," katanya.


Beliau berkata pembangunan wilayah sempadan turut melibatkan projek strategik seperti Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech Park dan Perlis Inland Port yang akan dihubungkan sehingga ke Laos, dengan kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi menyokong inisiatif tersebut.


Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata kerajaan turut merancang mengembangkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Tumpat ke Rantau Panjang sebelum disambungkan ke Thailand menggunakan spesifikasi landasan yang sama.


"Perbincangan dengan Anutin turut mencadangkan supaya laluan kereta api itu dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur yang sama," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam kalangan usahawan Bumiputera di negeri-negeri sempadan.


Menurutnya, sehingga Jun 2026 sebanyak RM400 juta pembiayaan telah disalurkan kepada usahawan dan koperasi di Kelantan, RM287 juta di Kedah serta RM45 juta di Perlis.


"Penekanan kita lebih kepada PKS supaya kepentingan peniaga kecil dan Bumiputera tidak ketinggalan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page