
Oleh: Abdullah Zaid
Pelbagai strategi dilakukan oleh calon untuk memenangi hati pengundi dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.
Bagi calon DUN Pinang Tunggal Zainuddin Mohammed, beliau mewujudkan satu laman sesawang khas bagi memudahkan masyarakat mengenali bakal wakil rakyat di kawasan itu.
Jelasnya, laman web itu juga diwujudkan supaya pengundi dapat memberi pandangan selain dilihat lebih berkesan seiring dengan teknologi terkini.
"Dua hari sudah saya lancarkan website sendiri bersamazm.com dan disediakan halaman latar belakang serta pencapaian saya.
"Saya juga menyediakan halaman rakyat yang mana anak muda diberi peluang memberi pandangan dan kritikan yang membina.
"Maklum balas tersebut akan dipantau jadi saya lihat perkara tersebut sebagai satu nilai tambah yang memudahkan penglibatan rakyat untuk lebih mengenali saya sesuai dengan peredaran sekarang," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.

Justeru itu, berbekalkan pengalaman 4 tahun menjadi Ahli Majlis, calon baharu tersebut berharap agar pengundi DUN Pinang Tunggal memberi peluang buatnya menerajui kerusi terbabit.
"Walaupun saya calon muka baru tapi hakikatnya saya dah lama berbakti kepada masyarkat.
"Ramai juga tahu saya jadi Ahli Majlis dan sering ikut menyantuni masyarakat setempat bersama mantan penyandang.
"Saya tak nak terlalu yakin tetapi saya lihat ada sinar dari segi penerimaan pengundi termasuk masyarakat kampung," ujarnya lagi.
Sebagai rekod, selain Zainuddin, KEADILAN mempertaruhkan tujuh muka baharu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.
Antara calon baharu ialah Mohsin Md Sharif (Telok Ayer Tawar); Johari Kassim (Seberang Jaya); Rohsidi Hussin (Penanti); Lee Boon Heung (Kebun Bunga); Fahmi Zainol (Pantai Jerejak) dan Prof. Dr. Mohd. Abdul Hamid (Batu Maung) serta NurHidayah Che Rose (Sungai Bakap).
Comments