Yusoff Rawther jadi 'hero': Pembangkang ketepi prinsip, tunggang agama
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan Pas dan Perikatan Nasional (PN) mengangkat Yusoff Rawther sebagai ‘hero’ meskipun pernah terpalit dengan penulisan yang menyokong Israel, jelas menunjukkan ianya dilakukan semata-mata demi kepentingan politik.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri (gambar) berkata, pembangkang tidak peduli siapa pun pihak atau individu yang perlu disokong asalkan boleh menguntungkan politik mereka dan dimanfaatkan untuk menjatuhkan pihak lawan.
''Soal prinsip Islam tidak sama sekali menjadi keutamaan. Mereka lebih kepada tunggang agama,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pas-PN yang seolah-olah menjadikan Yusoff Rawther sebagai 'hero', apabila 'mengusung' anak muda itu ke sana sini meskipun pernah terpalit dengan kontroversi berhubung penulisannya bertajuk “One Malaysian, Standing with Israel”.
Ditanya mengenai prinsip Pas sebelum ini berkaitan keperluan pihak yang menuduh mengemukakan bukti dalam kes dakwaan buruk Yusoff kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Syamsul berkata, Pas tidak lagi mengutamakan hal itu pada waktu ini.
Katanya beliau kesal, Pas yang dua dekad lalu membicarakan isu khazaf, perlu mengemukakan empat saksi sekiranya mahu menuduh orang baik melakukan jenayah seksual hari ini tidak lagi berpegang kepada ketetapan berkenaan.
Beliau turut membidas tindakan pembangkang Pas dan Bersatu yang merancang untuk mengadakan himpunan pada hujung bulan ini bagi mendesak Datuk Seri Anwar meletak jawatan susulan kes Yusoff, sedangkan katanya, pihak polis telah menyiasat kes itu dan mendapati tiada salah laku jenayah.
''Kononnya mereka (PN) mendapat sokongan rakyat atas dakwaan salah laku Anwar. Tak ada berlaku (salah laku) jenayah pun.
''Setelah polis siasat, tiada unsur-unsur jenayah. Tak wujud. Malah berlaku banyak pencanggahan," katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Syamsul menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan isu saman sivil Yusoff ke atas Anwar kerana sesiapa pun boleh menyaman seseorang individu.
''Itu kes sivil (saman Yusoff ke atas Anwar), dalam kes sivil sesiapa pun boleh saman.
"Datuk Seri Anwar nak saman Yusoff pun boleh, tak ada masalah,'' katanya sambil menempelak pembangkang yang dilihat tidak faham proses perundangan dan menggambarkan seolah olah PM Anwar telah bersalah dalam setiap dakwaan ke atasnya.
コメント