Yayasan MBI tampil bantu pastikan impian Aaron jadi kenyataan
- Suara Keadilan
- Aug 2
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Impian seorang pelajar cilik dari Hulu Selangor, Aaron Rizqi, untuk menyertai pertandingan Hippo English Language Olympiad Play Off di London, United Kingdom semakin hampir menjadi kenyataan.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, pada Jumaat bertemu sendiri dengan Aaron bagi menzahirkan sokongan dan dorongan penuh untuk Aaron terus berjuang mengharumkan nama sekolah, daerah, dan negara di pentas antarabangsa.
"Aaron merupakan salah seorang daripada hanya lapan pelajar Malaysia yang layak ke peringkat Play Off di London. Semangat dan cita-citanya mencerminkan harapan serta potensi luar biasa anak-anak Malaysia.
"Di sebalik kekangan kewangan yang mencabar, hanya keluarganya yang nekad meneruskan perjalanan. Kita tahu nilai tukaran Pound Sterling bukan sesuatu yang mudah ditanggung.
"Saya tidak menyalahkan ibu bapa yang lain kerana kita semua ada keutamaan masing-masing. Tapi dalam hati saya tetap rasa terkilan kerana tak mampu bantu semua mereka," kata Setiausaha Politik Menteri Besar itu menerusi perkongsian di Facebook.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2, Bukit Beruntung, Cikgu Zaini, yang tidak putus memberi semangat dan sokongan kepada Aaron sebagai anak didik sekolah tersebut.
Sementara itu menurut Saifuddin, kos keseluruhan untuk menyertai pertandingan berprestij itu dianggarkan mencecah sekitar RM30,000, namun pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menampung perbelanjaan tersebut.
"Harga sebuah usaha dan impian tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Saya hulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan.
"Alhamdulillah, Yayasan MBI di bawah pimpinan Ahmad Azri Zainal Nor kemudian tampil berjanji untuk membantu menampung kos tambahan," katanya.
Menerusi hantaran sama, imbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu juga mengajak orang ramai agar menitipkan doa buat Aaron Rizqi agar dipermudahkan urusan dan selamat dalam perjalanan, serta membawa pulang kejayaan yang membanggakan negara.
Beliau turut menyampaikan pesanan bermakna kepada Aaron,“Aaron kena janji, pergi harumkan nama ibu ayah, sekolah dan negara. Ini bukan sekadar soal menang, tapi tentang perjuangan dan keyakinan.
Comments