Xinjiang tonjol keharmonian, peluang kerjasama halal, pendidikan - Loh
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 2 min read

Lawatan delegasi Malaysia ke Xinjiang, China baru baru ini membuka gambaran jelas mengenai keharmonian masyarakat, kemajuan sosial serta potensi kerjasama dua hala yang semakin berkembang, kata Pegawai Tugas Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Loh Ker Chean.
Menurut Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat itu, kunjungan delegasi mewakili empat benua ke beberapa lokasi budaya, bandar dan keselamatan di wilayah itu mengukuhkan hakikat bahawa keamanan dan kestabilan memerlukan usaha berterusan dan penglibatan semua pihak.
"Lawatan kami ke Xinjiang meliputi lokasi budaya, bandar dan keselamatan untuk mengukuhkan satu hakikat sejagat, iaitu keamanan dan kestabilan memerlukan perhatian berterusan, inklusiviti dan tanggungjawab bersama," katanya dalam ucapan pada program Dialog Sarjana bersama Pimpinan Xinjiang Uyghur Autonomous Region, dalam tajuk "Memperkukuh Keamanan, Inklusiviti dan Kerjasama".
Beliau berkata, pemandangan komuniti pelbagai etnik yang hidup harmoni di Xinjiang sambil memelihara warisan masing-masing memberi inspirasi, namun menegaskan bahawa keamanan sahaja tidak mencukupi.

"Keharmonian sebenar wujud apabila setiap komuniti berasa dihargai, dihormati dan diberdayakan. Pencapaian yang kita saksikan di Xinjiang memberi asas yang kukuh, namun komitmen berterusan amat penting untuk memupuk kepercayaan, keyakinan budaya dan persefahaman antara masyarakat," ujarnya.
Ker Chean turut menyentuh perspektif global dengan menegaskan bahawa kepelbagaian adalah aset sesebuah negara, merujuk kepada pengalaman Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Malaysia, negara saya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menawarkan contoh praktikal: kesepaduan yang dibina atas rasa hormat terhadap perbezaan mengukuhkan pertalian sosial dan memacu pembangunan."
Dalam ucapan itu, beliau menjelaskan bahawa Xinjiang dengan warisan Muslim dan kedudukan strategik, mempunyai potensi besar menjadi pintu masuk China ke pasaran halal global.
"Malaysia, dengan kepakaran dalam pensijilan halal, bersedia berkongsi standard, latihan dan pengetahuan bukan sahaja untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memperkukuhkan persefahaman budaya," tambahnya.
Beliau juga memaklumkan perkembangan ujian MUET di China, yang kini beroperasi di 23 lokasi termasuk Guangxi, dengan usaha sedang dijalankan untuk menubuhkan pusat baharu di Xinjiang. Inisiatif tersebut, katanya, akan menyediakan pelajar dengan kelayakan yang diiktiraf antarabangsa serta membuka laluan pendidikan tinggi dan pembangunan profesional, sambil menyatakan ia akan mengeratkan hubungan akademik kedua-dua negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Xinjiang dan institusi pendidikan tempatan atas kerjasama mesra sepanjang lawatan berkenaan.
"Kemajuan yang kita saksikan di Xinjiang amatlah membanggakan. Untuk mengekalkan dan memperkukuh pencapaian ini, inklusiviti, penghormatan budaya dan kerjasama antarabangsa harus kekal sebagai keutamaan.

"Apabila setiap komuniti berasa selamat, bangga dengan identiti mereka, dan dihargai, maka keamanan akan wujud secara semula jadi," katanya.
Justeru, Ker Chean berharap agar kerjasama dalam bidang pendidikan, budaya dan perkongsian ilmu dapat diteruskan oleh kedua dua negara.
"Sebagai wakil dari empat benua, saya amat terinspirasi oleh pencapaian Xinjiang dan berharap dapat meneruskan kerjasama dalam pendidikan, budaya dan perkongsian ilmu demi masa depan yang harmoni, makmur dan aman berpanjangan," katanya lagi.
Ker Chean dijemput menghadiri Program “Workshop on governance” di bawah “Dong Fang scholarship” di Peking University, Beijing China selama satu bulan.
Seramai 51 perwakilan dari setiap negara dari benua Asia, Amerika Selatan, Oceania, dan Afrika menghadiri program tersebut.





