
Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia bagi menubuhkan sebuah badan yang mengawal selia perjalanan industri media secara bebas negara ini akan dibentangkan di sidang Parlimen pada Jun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata draf RUU berkenaan sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara untuk dibawa kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Ini penting kerana mengikut sejarahnya, dasar mengenai pembentukan penggubalan Akta Majlis Media Malaysia telah dimasukkan pada 2019 (ketika pentadbiran Pakatan Harapan) tetapi memandangkan ada sejumlah perubahan kerajaan dan setelah terbentuknya Parlimen ke-15 dan Kerajaan MADANI sekarang, maka kita perlu ada penyelarasan beberapa perkara dasar," katanya dalam sidang media selepas pengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, ditanya sama sama ada Majlis Media Malaysia akan menggunakan kod etika wartawan yang berasingan daripada Kod Etika Wartawan Malaysia oleh Jabatan Penerangan (JaPen), Fahmi berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan majlis tersebut.
"Sekiranya Majlis Media Malaysia pada satu ketika ingin membentuk atau mengguna pakai kod etika ini atau kod etika baharu, itu terpulang kepada mereka.
"Ini kerana Jabatan Penerangan akan menggunakan kod etika ini dalam konteks memberi atau menarik balik kad perakuan media. Kad perakuan media tidak diberikan oleh Majlis Media," katanya.
Fahmi berkata kod etika yang dikeluarkan oleh jabatan itu merupakan versi baharu yang diteliti semula bagi menggantikan garis panduan yang telah diguna pakai sejak 35 tahun lepas.
Semalam Fahmi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang menggariskan lapan etika asas termasuk membabitkan ketelusan, keadilan dan ketepatan dalam laporan berita, merupakan hasil daripada perbincangan pihak kerajaan bersama pengamal media.
Fahmi berkata kod etika itu tidak akan mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara media sebaliknya ditambah baik untuk disesuaikan dengan keperluan semasa dunia kewartawan dan seiring dengan perkembangan teknologi.
Comments