Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia bakal menjadi tumpuan dalam usaha merancang, memperkasa perlindungan sosial peringkat tempatan dan global sempena.
Keyakinan itu dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melalui satu kenyataan sebagai mengulas penganjuran Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang akan bakal diadakan di Geneva.
"Forum berskala antarabangsa itu bertepatan dengan cabaran baharu berkenaan aspek keselamatan sosial yang sedang dihadapi seluruh negara ketika ini," katanya.
Sementara itu tambah Steven Sim, WSSF 2025 berupaya menjadi wahana untuk seluruh dunia berkongsi strategi dan langkah ke hadapan yang sewajarnya demi memastikan siri cabaran itu ditangani bermula dari sekarang.
Justeru Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengadakan perbincangan dengan International Social Security Association (ISSA) untuk memastikan WSSF 2025 berupaya menjadi wadah mencerminkan tekad Malaysia dalam perjuangan hak asasi manusia dan perlindungan sosial, khususnya golongan pekerja.
"Perkara utama yang perlu dirungkai adalah kesan langsung daripada pola masyarakat menua dan kelestarian dana pencen, selain merencana sistem keselamatan sosial terbaik bagi penggiat sektor gig.
"Kita tidak boleh alpa dan berlengah kerana fenomena masyarakat menua bakal memberi tempias yang amat mendalam, termasuk membabitkan unjuran semasa berkaitan kelestarian dana pencen bagi penggiat sektor gig," jelasnya.
Sementara itu, Steven Sim berkata, Malaysia ketika ini giat merintis penambahbaikan menerusi pindaan akta berkaitan untuk menepati Konvensyen Keselamatan Sosial (Standard Minimum) 1952 (Konvensyen 102).
Beliau berkata, usaha sedemikian selari tekad kerajaan ke arah reformasi dasar dan institusi kepentingan awam yang menjadi antara tonggak prinsip Kerajaan Madani.
"Dengan ratifikasi Konvensyen 102, Malaysia boleh mengukuhkan lagi perlindungan sosial dan menjamin faedah yang mencukupi bagi pekerja serta keluarga mereka," katanya.
Comentários