Wong Chen jika berintegriti, sila nyatakan pendirian terhadap KEADILAN - Sivamalar
- Suara Keadilan

- Jun 15
- 2 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Sivamalar Genapathy mengingatkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bahawa seseorang pemimpin tidak boleh berada dalam ‘dua perahu’ pada masa sama, susulan penglibatannya dengan platform politik lain ketika masih memegang jawatan atas tiket parti itu.
Sivamalar berkata, jika benar Ahli Parlimen Subang itu sudah tidak lagi yakin dengan perjuangan parti, beliau seharusnya menyatakan pendiriannya secara terus terang kepada anggota parti dan rakyat.
"Rakyat Subang tidak memilih seorang 'content creator' politik, mereka memilih seorang wakil rakyat yang sepatutnya fokus menyelesaikan masalah rakyat.
"Rakyat Subang juga adalah pengundi celik politik. Mereka mampu menilai sendiri siapa yang benar-benar fokus berkhidmat kepada rakyat dan siapa yang lebih berminat mencipta polemik politik yang berterusan.
"Jangan sesekali memperlekeh kebijaksanaan pengundi Subang," katanya dalam satu kenyataan.
Sivamalar turut mempersoalkan tindakan Wong Chen yang masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen atas tiket KEADILAN, namun pada masa sama didakwa berkempen, mempromosi serta memberikan legitimasi kepada gerakan politik yang sedang membina alternatif kepada parti yang diwakilinya.
"Tiada siapa dihukum kerana mempunyai kawan. Tiada siapa dihukum kerana menghadiri acara awam. Persoalan sebenar ialah sama ada seseorang wakil rakyat masih komited kepada mandat, perjuangan dan platform politik yang diwakilinya ketika dipilih oleh rakyat.
"Ini bukan soal kebebasan bersuara atau hak untuk berkawan. Ini soal kejelasan pendirian politik, integriti terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi, serta kesetiaan kepada perjuangan yang telah membawa seseorang itu ke Parlimen.
"Tidak ada parti politik di dunia yang boleh berfungsi dengan baik jika pemimpinnya bebas berkempen untuk platform politik lain sambil terus menikmati kedudukan yang diperoleh melalui parti asal," katanya lagi.
Dalam pada itu, Sivamalar menegaskan KEADILAN tidak gentar dengan sebarang cabaran, ugutan atau cubaan memaksa parti bertindak mengikut rentak yang ditentukan oleh individu tertentu.
Ujarnya, KEADILAN akan terus membuat keputusan berdasarkan prinsip, perlembagaan parti dan kepentingan perjuangan yang lebih besar.




Comments