Oleh: Abdullah Zaid
Dewan Rakyat dimaklumkan Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata laluan alternatif persisiran Pantai Barat itu juga dijangka menjadi pilihan logistik bagi kenderaan berat ke Pelabuhan Lumut, Teluk Intan dan Pelabuhan Klang.
Jelasnya, lebuhraya baharu itu dijangka mampu menampung jumlah aliran trafik terutama pada cuti persekolahan dan musim perayaan.
"Lebuhraya WCE dapat mengelakkan laluan mendaki atau berbukit yang boleh mengoptimumkan kos operasi, logistik di samping dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memberikan perjalanan lebih selesa kepada pengguna
"Selain itu, ia juga menyelusuri laluan persisiran Pantai Barat ke Taiping dari Selangor, membantu memberikan kemudahan selain membuka peluang penjanaan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam hal berkaitan semalam, Alenxander memaklumkan lebuhraya WCE dari Taiping ke Beruas boleh digunakan secara percuma selama dua bulan sehingga 11 Mei depan.
Jelasnya, tol percuma itu diberikan kepada pengguna yang memasuki lebuh raya itu dari Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas bersempena Ramadan ini dan Aidilfitri bulan depan.
WCE sepanjang 233km dari Banting, Selangor hingga Taiping mula dibina pada 2014 menelan kos lebih RM5 bilion dengan RM1.9 bilion kos bagi pembinaan jajaran di Perak, manakala RM3.1 bilion jajaran di Selangor.
Comentarios