
Wartawan Malaysia dan Indonesia digesa mengambil bahagian dalam membincangkan krisis kemanusiaan di Myanmar.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, meskipun ASEAN berpegang teguh untuk tidak mencampuri urusan dalaman negara lain, namun krisis Rohingya di Myanmar menjadi isu sensitif untuk dibincangkan.
Isu pelarian memberi impak kepada kedua-dua negara dan beliau mencadangkan satu forum diadakan untuk meningkatkan pemahaman dan berkongsi maklumat antara wartawan serantau.
Ia sekaligus diharap dapat merungkai isu kemanusiaan di negara itu.
"Saya ingin lihat wartawan menyertai perbincangan di peringkat ASEAN mengenai apa yang sedang berlaku dan cabaran di negara masing-masing, serta apa yang boleh dipelajari dan saling menyokong antara satu sama lain," katanya dalam wawancara bersama media Indonesia.
Wawancara secara dalam talian itu bersempena sambutan Hari PERS Nasional (HPN) yang akan disambut di Medan, Sumatera Utara, Khamis ini.
Menyentuh mengenai hubungan Malaysia-Indonesia, Fahmi percaya Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) mampu memainkan peranan lebih besar dalam mengeratkan hubungan dua negara serumpun itu.
Beberapa program akan dirancang bagi meningkatkan interaksi wartawan dan mendalami situasi di kedua-dua negara.
Ini jelasnya dapat dilakukan melalui program pertukaran wartawan bagi tempoh tertentu.
"Kalau boleh kita rapatkan hubungan bukan hanya di antara warga Malaysia dan Indonesia, tetapi antara wartawan yang memainkan peranan penting untuk saling bercerita antara satu sama lain, supaya kita boleh membaca (mengenainya)," tambahnya.