top of page

Warisan kesabaran generasi reformis kini membuahkan hasil - Altimet

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad


Warisan kesabaran perjuangan Otai Reformis yang diasaskan sejak era awal Reformasi kini terbukti membuahkan hasil nyata kepada landskap politik dan demokrasi negara kerana kekuatan generasi tersebut bukan sekadar terletak pada kisah perjuangan mereka, tetapi pada impak dan perubahan nyata yang kini dapat dilihat hasil kesabaran dan ketekunan jangka panjang.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad (gambar) atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata sumbangan generasi awal Reformasi tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai catatan sejarah, sebaliknya sebagai pemangkin utama perubahan pemikiran rakyat dan pembentukan budaya demokrasi yang dapat dirasai hari ini.


"Hari ini kita bukan lagi bercakap soal potensi. Kita sudah nampak hasilnya, iaitu satu gelombang perubahan pemikiran dan satu perubahan dari segi demokrasi," katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui pada Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, semalam.


Alitimet turut menyifatkan perjuangan Otai Reformis sebagai satu proses yang menuntut ketahanan luar biasa, diibaratkan seperti peladang yang menanam pokok durian dan hanya mampu menikmati hasil selepas puluhan tahun.


"Kita tak boleh rasa hari ini tanpa mereka yang menjadi benih dan menanam semangat itu sejak awal," ujarnya.


Mengulas perbezaan pendekatan generasi, beliau berkata keinginan untuk melihat perubahan secara pantas adalah sifat semula jadi golongan muda, namun realiti politik menuntut kefahaman bahawa tidak semua perubahan boleh dicapai dalam tempoh singkat.


"Ada benda boleh capai sehari, ada yang ambil setahun, 10 tahun, malah 100 tahun.


"Ini pelajaran yang sukar diajar, sebab kebanyakannya dipelajari melalui pengalaman," katanya, sambil mengaitkan analogi pembelian dalam talian proses membeli segera, tetapi penghantaran memerlukan masa.


Beliau berkata, cabaran mendidik generasi baharu tentang proses perubahan memerlukan kesabaran dan pendekatan berperingkat, kerana hakikatnya banyak contoh dalam kehidupan seharian yang membuktikan bahawa hasil tidak sentiasa datang seiring dengan keinginan segera.


Dalam pada itu, Altimet turut merakamkan penghargaan kepada Otai Reformis yang disifatkan sebagai generasi perintis yang meletakkan asas perjuangan pembaharuan negara.


Beliau berkata generasi kedua, ketiga dan seterusnya kini memikul tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan tersebut agar niat asal Reformasi tidak terhenti atau terhakis oleh perubahan masa.


"Perubahan yang dinikmati generasi hari ini tidak mungkin berlaku tanpa benih dan semangat yang telah ditanam sejak awal oleh generasi Reformasi terdahulu," ujarnya


Altimet juga menekankan peranan sokongan senyap rakyat yang tidak mampu menyatakan pendirian secara terbuka pada masa lalu, termasuk sokongan dalam bentuk doa dan dorongan moral, yang menurutnya menjadi sumber kekuatan penting kepada gerakan Reformasi.


"Sokongan yang tidak kelihatan inilah yang memastikan semangat perubahan terus hidup dan tidak mati," katanya, sambil menegaskan komitmen generasi hari ini untuk mempertahankan dan memperkukuh perubahan yang telah dicapai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page