Warisan budaya dimartabat, jadi penghubung erat ukhwah
- Suara Keadilan

- Aug 17, 2025
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor terus komited menyokong usaha memartabatkan warisan budaya masyarakat menerusi pelbagai inisiatif di peringkat akar umbi.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata beliau berkesempatan hadir memeriahkan Program Bengkel Tart Bengkulu di Kampung Sungai Choh pada Sabtu yang diadakan bersempena sambutan bulan kemerdekaan.
"Bertemakan “Kuih Tradisi, Warisan Kita – Hulu Selangor”, program anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Batang Kali ini bertujuan mengangkat kembali warisan kuih tradisi masyarakat tempatan.
"Selain memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan, usaha ini juga menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Hulu Selangor," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
PWB merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memperkukuh pembangunan dan pemberdayaan wanita Selangor, di samping menjadi penghubung antara kerajaan dengan wanita di peringkat akar umbi.
Menurut Saifuddin lagi, program kelolaan Puan Natrah Ali itu mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk diberi tunjuk ajar menghasilkan kuih tradisi bersama tenaga pengajar, Puan Rosmah Radzwan.
"Semoga usaha ini bukan sahaja memelihara warisan kulinari tempatan, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan," ujar Timbalan Ketua KEADILAN Hulu Selangor itu.









Comments