Wanita Pasir Gudang edar Jalur Gemilang semarak semangat patriotik
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Cabang Pasir Gudang terus berusaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terutama dalam Bulan Kemerdekaan.
Ketua Wanitanya, Noraziah Mohd Razit menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan pihaknya telah mengadakan program mengedarkan Jalur Gemilang kepada penduduk Blok 54, Taman Cendana.
Menurutnya, program yang diadakan pada Ahad lalu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya sebagai menterjemah semangat kecintaan terhadap tanah air.
"Kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, tetapi lambang perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang kita kepada negara tercinta," katanya.
Sementara itu menurut beliau, program turut diserikan dengan penyertaan kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam kuiz patriotik mengenai sejarah kemerdekaan, tokoh pejuang serta maksud warna Jalur Gemilang.
"Semangat mereka menjawab soalan membuatkan hati kita penuh harapan.
"Generasi inilah yang bakal mewarisi perjuangan bangsa dan negara. Menjadi tanggungjawab kita untuk mencorak mereka supaya lebih cemerlang pada masa akan datang," jelasnya.
Dalam pada itu, Noraziah yang juga Exco Wanita KEADILAN Pusat turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang menyambut mesra program itu.
"Mari kita terus menyemarakkan semangat patriotisme, agar setiap rumah di Pasir Gudang berkibar megah dengan Jalur Gemilang," katanya.