Wanita KEADILAN tegur lagu berunsur lucah, seru hiburan beretika
- Suara Keadilan

- Jan 12
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Wanita KEADILAN memandang serius penularan lagu yang didakwa mengandungi unsur lucah dan sindiran seksual berlapik sehingga boleh dianggap tidak bermoral.
Mereka menegaskan bahawa kebebasan berkarya tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan nilai agama, meremehkan adab ketimuran atau menormalisasikan unsur fahsya’ dalam masyarakat.
"Islam menuntut penjagaan maruah, kesucian akhlak dan keseimbangan rohani, termasuk dalam hiburan.
"Larangan terhadap perbuatan tidak bermoral merangkumi semua bentuk simbol dan kandungan yang membuka ruang kepada kerosakan moral serta penghakisan nilai malu dalam diri masyarakat.
"Ia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 32: ‘Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk’," kata ketua Biro, Farahida Fauzi (gambar).
Baru-baru ini, lagu nyanyian Baby Shima mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur lucah, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi hangat daripada masyarakat dan peminat seni.
Penyanyi dangdut dan penyampai radio Kool FM, Haiza turut mengingatkan supaya penyanyi menonjolkan lagu dengan lirik yang elok dan membina.
Sementara itu Farahida dalam kenyataannya turut menzahirkan kebimbangan kandungan hiburan sebegini dapat diakses dengan mudah sehingga kesan negatif kepada sahsiah generasi muda.
Justeru beliau menyeru semua artis, pencipta lagu dan penerbit supaya menghasilkan karya yang mendidik, beretika, dan menghormati sensitiviti masyarakat majmuk.
"Industri hiburan wajar menjadi medium pembinaan akhlak dan nilai positif, selari dengan aspirasi Malaysia Madani. Wanita KEADILAN juga menggesa semua pihak bertindak peka dan berhemah memelihara keharmonian sosial dan moral masyarakat," tambahnya.




Comments