Wanita KEADILAN Sabah gesa tindakan segera bantu mangsa banjir
- Suara Keadilan
- Sep 16
- 1 min read

Wanita KEADILAN Sabah menzahirkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada semua mangsa banjir yang melanda negeri itu, khususnya di daerah Penampang dan Beaufort.
Ketua Wanita KEADILAN Sabah merangkap Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Datin Rufinah Pengeran (gambar) berkata, bencana banjir bukan sahaja menjejaskan harta benda, malah menyukarkan nasib ribuan penduduk termasuk keluarga yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Lebih membimbangkan, turut dilaporkan kejadian tanah runtuh di beberapa kampung di Penampang yang menjejaskan keselamatan penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN Sabah menggesa pihak berkuasa memberi keutamaan kepada kebajikan golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU), wanita mengandung serta keluarga yang mempunyai anak kecil.
Selain itu, beliau menyarankan agar bantuan makanan dan bekalan air bersih disalurkan dengan lebih cepat dan menyeluruh, terutama ke kawasan pedalaman yang terputus hubungan, serta mempertingkatkan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dan kelengkapan logistik memandangkan hujan masih berterusan.
"Semoga semua mangsa sentiasa diberikan perlindungan, keselamatan dan kekuatan untuk melalui dugaan ini. Wanita KEADILAN Sabah akan terus berdiri bersama rakyat serta menggerakkan sokongan yang termampu demi kebajikan mereka," katanya.
Terkini, setakat pukul 8 pagi tadi seramai 2,468 orang daripada 656 keluarga telah ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.
Penampang merekodkan jumlah tertinggi, 958 orang daripada 239 keluarga. Diikuti Membakut, 611 Putatan 456, Beaufort 273, dan Papar 170 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 96 kampung terjejas banjir kali ini.
Comments