Wanita KEADILAN N Sembilan sanggah naratif ADUN Juasseh
- Azuan Ab Rahman

- 4 days ago
- 1 min read

Wanita KEADILAN Negeri Sembilan menyelar kenyataan Bibi Sharliza Mohd Khalid yang mempertahankan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan menyifatkan hal itu bukan langkah "tebuk atap".
Ketuanya, Rosmawaty Muhamad Ros (gambar) menegaskan, sebarang usaha menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada tanpa melalui mandat rakyat tetap dianggap membawa ciri-ciri langkah politik yang menggugat kestabilan.
"Langkah ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri, malah berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Rosmawaty menegaskan kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, selama ini kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus telus serta menghormati institusi raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Justeru beliau mengingatkan bahawa menjunjung adat dan institusi raja tidak seharusnya dijadikan retorik politik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang bertanggungjawab dan berhemah.
"Tindakan 14 ADUN tersebut, bagaimana sekalipun cuba dinaratifkan tetap dianggap sebagai tidak menghormati mandat rakyat.
"Menarik sokongan secara terbuka tanpa penyelesaian jelas hanya memburukkan keadaan dan berisiko menjerumuskan negeri ke dalam ketidaktentuan politik," ujarnya.
Rosmawaty menerusi kenyataan tersebut menambah, situasi lebih membimbangkan kerana konflik itu berlaku dalam kerangka Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya berteraskan kepercayaan, kerjasama dan tanggungjawab bersama antara parti-parti terlibat.
"Sehubungan itu, Wanita KEADILAN Negeri Sembilan menggesa semua pihak agar menghentikan naratif mengelirukan dan kembali kepada semangat asal Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara," tambahnya.




Comments