Oleh: Abdullah Zaid
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks, Wanita KEADILAN Pusat mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran di kalangan wanita Malaysia.
Naib Ketua Wanita, Sangetha Jayakumar berkata kempen “Sayangi Diri” diperkenalkan sejak Novemver 2023 lalu bertujuan mengalakkan wanita melakukan saringan kendiri HPV DNA.
"Wanita KEADILAN percaya bahawa advokasi untuk menangani stigma berkaitan ujian HPV DNA adalah tanggungjawab dan suatu kemestian untuk membina kesedaran bagi memperkasa wanita untuk mengawal kehidupan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, seperti yang ditekankan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kanser serviks boleh dicegah melalui kaedah vaksinasi.
"Justeru, Wanita KEADILAN menyokong penuh Kerajaan Madani yang kini memperbaharui usaha untuk memulakan semula program vaksin HPV," ujarnya.
Namun jelas Sangetha, Wanita KEADILAN menyedari bahawa yang lebih utama adalah perlunya peningkatan kesedaran dalam kalangan wanita.
"Maka penting sekali untuk kita memastikan setiap wanita dan setiap ibu mengutamakan kesihatan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu sayap wanita parti juga, tambah beliau, menjalinkan kerjasama dengan Yayasan ROSE bagi meningkatkan kesedaran di kalangan wanita.
"Kini kami giat menjalankan program saringan kendiri HPV DNA di Pulau Pinang, Selangor, dan Sarawak dengan negeri-negeri lain dalam perancangan.
"Oleh itu, Wanita KEADILAN menyeru orang ramai, profesional penjagaan kesihatan, dan penggubal dasar untuk berganding bahu dalam menyebarkan kesedaran berkaitan kesihatan serviks," ujarnya lagi.
Comments