Wanita KEADILAN komited bantu usaha perangi keganasan rumah tangga
- Suara Keadilan

- Jul 17
- 1 min read

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Wanita KEADILAN Pusat memandang serius isu keganasan rumah tangga seperti yang dilapor Bernama semalam.
Ketuanya Farahida Fauzi (gambar) berkata, laporan tersebut yang mendedahkan sebanyak 2,467 kes direkodkan di seluruh negara antara Januari hingga April tahun ini, termasuk 104 kes di Terengganu sebagai sesuatu yang membimbangkan dan menuntut usaha kolektif yang menyeluruh bagi menangani isu tersebut.
"Langkah pencegahan dan sokongan komuniti perlu diperluas secara berterusan dengan antaranya penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pelaku keganasan.
"Selain itu pendidikan komuniti dan pendekatan agama juga perlu bagi membina kesedaran melalui kempen selain mengukuhkan jaringan sokongan psikososial seperti kaunseling, perlindungan serta bantuan guaman," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu Farahida yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Indera Mahkota juga memaklumkan langkah proaktif yang telah dilaksana di Indera Mahkota melalui penubuhan Rumah Wanita.
Rumah Wanita jelasnya sebuah pusat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga yang turut berperanan sebagai tempat pelaporan awal, kaunseling dan bantuan undang-undang.
Menerusi kenyataan sama beliau menyatakan sokongan kepada usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenal program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) serta inisiatif intervensi psikologi K-Chat.
"Pendekatan ini selari dengan prinsip rahmah, mawaddah dan sakinah yang menjadi asas rumahtangga dalam Islam," katanya.
Justeru beliau menyatakan komitmen BIPPA Wanita KEADILAN untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa, NGO dan masyarakat sivil untuk mendidik masyarakat, menyantuni mangsa dan menggerakkan solusi praktikal di lapangan bagi menangani isu tersebut.









Comments