Wanita KEADILAN kecam cadangan artis terkenal wujud rumah pelacuran
- Suara Keadilan

- Jan 9, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Wanita KEADILAN mengencam saranan Datuk Rosyam Nor berkenaan pembukaan pusat pelacuran bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiya Zulkifli berkata, saranan jelik oleh artis berpengaruh itu jelas menyalahi undang-undang, merosakkan nilai dan institusi kekeluargaan serta ditegah agama Islam.
"Pemikiran seperti ini tidak boleh dinormalisasikan dalam masyarakat kerana ianya berpotensi menjejaskan institusi kekeluargaan dan sistem sosial negara, malah menyalahi undang-undang di negara ini.
"Sebaliknya, polemik berkenaan isu dan masalah dalam kalangan pekerja warga asing di negara harus diselesaikan secara tuntas, namun saranan ini adalah salah dari segi undang-undang dan tidak menghormati Dasar Keluarga Negara," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Juwairiya mengingatkan wanita mahupun lelaki harus dihormati sebagai insan yang bermaruah dan bukannya sebagai objek untuk dimanipulasi ataupun didiskriminasi.
Terdahulu, Rosyam menerusi podcast atau audio siar, menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk 'kemudahan' warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.
Aktor handalan itu dengan yakin mendakwa rumah pelacuran tersebut mampu membendung jenayah rogol dalam kalangan warga asing yang bekerja di negara ini.




Comments