Wanita KEADILAN doakan kekuatan, perlindungan buat mangsa banjir
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada semua mangsa banjir di utara semenanjung terutama di Perak dan Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan, Wanita KEADILAN menzahirkan doa agar semua keluarga yang terlibat diberikan kekuatan, ketabahan dan perlindungan Allah SWT dalam menghadapi ujian tersebut.
"Semoga segala urusan pemindahan, bantuan dan pemulihan berjalan lancar serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara," ujar mereka.
Taburan hujan berintensiti tinggi dan berterusan selain pertembungan dengan fenomena air pasang dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat.
Setakat 4 petang semalam, seramai 4,575 mangsa daripada 1,483 keluarga di tiga negeri termasuk Kedah dipindahkan ke 38 pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah Larut, Matang dan Selama di Perak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,650 mangsa daripada 904 keluarga terlibat.
Sementara itu Wanita KEADILAN dalam kenyataan sama menyatakan harapan agar keadaan di kawasan terjejas kembali pulih seperti sediakala dan kehidupan rakyat yang terkesan dapat distabilkan dengan segera.
Mereka turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menzahirkan solidariti dan keprihatinan dengan menyalurkan bantuan serta sokongan moral kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.
"Dalam saat-saat getir ini, semangat kebersamaan dan kasih sesama insan amat penting untuk meringankan penderitaan mereka," kata kenyataan itu.





