top of page

Wanita HARAPAN bersolidariti bersama Gaza, sukarelawan GSF

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Oct 4
  • 2 min read

Aiman (tiga dari kanan) dalam demo di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan AS petang semalam
Aiman (tiga dari kanan) dalam demo di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan AS petang semalam

Wanita HARAPAN menegaskan komitmen penuh solidariti bersama rakyat Palestin serta sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan oleh tentera Israel ketika melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza.


Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Ketua Wanita HARAPAN, Aiman Athirah Sabu berkata, himpunan solidariti yang berlangsung semalam di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi merupakan lambang perjuangan kemanusiaan sejagat.


"GSF bukan hanya sebuah kisah pelayaran. Ia adalah simbol keberanian, simbol kesatuan masyarakat dunia yang berbilang, dan simbol penentangan terhadap penindasan yang telah sekian lama mencengkam saudara-saudara kita di bumi Palestin, khususnya di Gaza yang sedang dikepung dan dihujani peluru serta bom tanpa henti," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, para relawan GSF bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan, tetapi juga membawa suara jutaan manusia di seluruh dunia yang menolak kezaliman dan mendambakan keadilan.


Aiman yang juga Ahli Parlimen Sepang turut menggariskan tiga pengiktirafan buat relawan flotilla tersebut – setiap langkah mereka adalah keberanian, setiap titisan peluh adalah pengorbanan, dan setiap detik perjalanan mereka membuktikan bahawa dunia masih dipenuhi manusia berhati nurani.


Beliau menjelaskan, perkataan Sumud sendiri bermaksud ketabahan dan keteguhan, yang menjadi akar semangat perjuangan flotilla.


Dalam ucapan semalam Aiman menyampaikan lima mesej utama kepada dunia, iaitu menuntut pembebasan segera semua relawan GSF tanpa syarat; mengecam kekejaman Israel sebagai jenayah kemanusiaan; menegaskan bahawa suara solidariti tidak akan dibungkam di mana-mana pentas; mendesak Amerika Syarikat menyatakan pendirian jelas sama ada menyokong kemanusiaan atau menjadi pelaku genosida dan menyatakan kesediaan menggerakkan lebih ramai relawan GSF sehingga Palestin dikembalikan kedaulatannya.


Aiman yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mendoakan keselamatan dan kekuatan semua relawan GSF dalam perjuangan mereka membawa misi kemanusiaan ke Gaza.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page