
Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) KEADILAN Terengganu, Azan Ismail kagum melihat semangat juang anggota parti itu di Pantai Timur yang terus kental berjuang biar pun tidak mencapai kemenangan sejak Pilihan Raya Umum 1999.
Bagi Azan, semangat tersebut perlulah diperbaharui pada Hari Raya Aidilfitri kali ini setelah dua tahun umat Islam tidak merayakannya secara normal.
"Saya ambil kesempatan selaku pengerusi MPN Terengganu, setelah 12 tahun jadi pengerusi MPN saya lihat pelbagai situasi ahli ahli KEADILAN, hubungan kita dengan Pakatan Harapan, juga sebelum ini Pakatan Rakyat.
"Banyak ahli kita yang sangat sabar, komited. Benda ini menjadikan saya sangat kagum dengan semangat ahli KEADILAN Terengganu. Tidak ada apa ucapan lebih penting kepada mereka ini, saya mengharapkan semua kalangan kita mengekalkan sifat dan semangat kekeluargaan memperjuangkan KEADILAN walau kita ditekan.
Walau tak pernah menjadi kerajaan. Walau kita tidak pernah mendapat apa apa kelebihan atau pun kesenangan walaupun kerajaan memerintah 2018 lalu, kita di Terengganiu tidak ada apa apa kedudukan. Jadi inilah jiwa dan sikap saya kagumi. Saya hargai semangat yang ditunjukan semua ahli kita di Terengganu," katanya.
Justeru menurut calon Naib Presiden KEADILAN itu, beliau berharap semangat tersebut kekal akan meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
Azan juga memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam pimpinan beliau di Terengganu.
"Kita sama sama hargai keluarga besar. Dalam semangat menyambut Syawal ini tak ada apa ucapan lebih baik selain menyusun jari sepuluh memohon maaf dan juga menyatakan kemaafan kita kepada semua anggota.
"Bumi mana tidak ditimpa hujan, akan ada sedikit sebanyak kekhilafan. Kita ambil masa selepas Perintah Kawalan Pergerakan ini peluang bertemu dan memperbaharui azam, mengukuhkan KEADILAN dan mencipta peluang untuk menang di Terengganu," katanya lagi.