Walau ceramah tanpa kehadiran penonton, KEADILAN dikompaun RM10,000



Larangan berkempen secara berhimpun dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bagi mengelakkan kontak fizikal yang boleh menimbulkan kluster Covid 19.


Namun malangnya, percubaan KEADILAN menganjurkan ceramah bergerak malam tadi tanpa penonton fizikal, tetap dikompaun RM10,000 dan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin serta penyokong Pakatan Harapan di Melaka.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, program penerangan tanpa melibatkan perkumpulan fizikal sepatutnya tidak dihalang kerana tidak menimbulkan kemungkinan jangkitan Covid.


"KEADILAN memikirkan cara munasabah untuk kita menjalankan kempen tanpa adanya dua elemen, iaitu perhimpunan yang akan mewujudkan keadaan sukar dilakukan penjarakan sosial serta majlis sosial.


"Justeru kita memulakan kempen ceramah bergerak tanpa penonton. Konsep kita gunakan lori, kita ubah suai jadi pentas ceramah di kawasan taman perumahan. Lori itu mempunyai alat pembear suara cukup kuat.


"Kita buat di dua lokasi malam tadi, iaitu di Taman Seri Krubong dan Taman Krubong Jaya dalam DUN Paya Rumput. Dalam ceramah yang hadir penceramah, petugas, rakan media, pegawai dan polis


"Pendengar duduk di rumah di pinggir rumah masing-masing atau di media sosial. Kita ceramah dalam 30 minit dan kita bergerak ke tempat lain


"Namun saya kesal sewaktu kami menganjurkan program itu di Taman Krubong Jaya pasukan polis mengeluarkan kompaun yang menyatakan kesalahan engkar SOP kerana adakan kempen pilihan raya," katanya dalam sidang media secara maya dari Melaka sebentar tadi.


Pada masa sama, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menafikan ceramah semalam merupakan kempen pilihan raya kerana proses penamaan calon belum bermula.


Katanya, pemberitahuan telah dilakukan kepada pihak polis di bawah Akta Perhimpunan Aman dan permit ceramah tidak perlu dipohon untuk program penerangan biasa.


"Ini kita kesalkan kerana buat pertama kali KEADILAN cuba jadi parti kreatif, kita guna pendekatan lebih teliti dan tidak berlaku kontak fizikal namun kita kesal polis masih keluarakn kompaun kerana adakan kempen


"Kita tahu PRN hanya berlaku apabila mula penamaan calon


"Semalam kita hanya lakukan program penerangan untuk menyediakan pengundi yang akan keluar mengundi mengenai isu terkini berkaitan hal negeri Melaka dan Belanjawan di peringkat Persekutuan," katanya.


Sehubungan itu, Shamsul mendesak Menteri Kesihatan dan Menteri Dalam Negeri menjelaskan secara terperinci Prosedur Operasi Piawai sepanjang tempoh kempen PRN.


Katanya, KEADILAN berhasrat akan menggunakan kaedah ceramah di parkir sebagaimana dilakukan di Amerika Syarikat (AS) sepanjang kempen pilihan raya presiden lalu, pada kali ini.


"Misalnya kita lihat di luar negara sewaktu kempen pemilihan Presiden AS ada ceramah drive thru, ceramah besar tetapi mereka duduk dalam kereta. Jadi macam mana kempen seperti ini ? Ini adalah kreativiti masing-masing


"Kita akan cuba adakan program seperti itu, babitkan konsep lain sedikit tetapi diamalkan di negara lain kerana meminimakan kehadiran orang tetapi mereka boleh duduk dalam kenderaan masing-masing.


"Saya akan menulis surat kepada Menteri Kesihatan. Saya ingin tegaskan kepada Menteri Dalam Negeri supaya dapat beri taklimat kepada polis di bawah.


"Kerana mereka tidak boleh memahami dengan jelas atau dipukul rata sahaja. Semalam, BN juga buat program, dari segi gambar ramai yang hadir. Begitu juga PN, lebih 10 orang hadir, apakah mereka juga disaman dengan kompaun," katanya lagi.








0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER