
Masalah yang melanda Malaysia tidak berjaya diatasi sejak sekian lama kerana wakil rakyat yang dipilih kurang faham masalah sebenar di kawasan mereka.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Cikgu Azmi Hamid berkata, wakil rakyat seharusnya menguasai isu mikro dan makro rakyat sebelum mampu menyelesaikan masalah di kawasan masing masing.
"Anjuran saya, usul saya ialah kamu perlu faham mengenai rakyat yang selalu kamu katakan.
"Ketika ini semua sedang cuba memahami sentimen rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 15. Maka dengan itu seharusnya anda sebagai wakil rakyat menemui mereka dengan niat yang tulus, beritahu kita mahu berubah dan kita boleh buat perubahan.
"Kena faham dengan masalah petani, nelayan, B40, setinggan, asnaf, pekerja level bawah. Ini yang saya rasa kita perlu ada. Jika tidak ada maka akhirnya kita jadi retorik," katanya.
Beliau memberi contoh, masalah rakyat perlu difahami berdasarkan locality base tentang berapa banyak masjid, sekolah, kuil di kawasan masing masing. Juga community base berdasarkan pekerjaan rakyat dan issue base berdasarkan bidang, pendidikan, kesihatan, sumber ekonomi dan budaya.

Dalam pada itu, Presiden NGO Generasi KEADILAN, Yusmadi Yusoff pula mendesak agar perkara yang dibincangkan dalam Sidang Nadi Rakyat dibawa oleh wakil rakyat ke Dewan Rakyat.
Katanya, wakil kerajaan tidak teruja membawa isu isu rakyat kerana itu tiada undang undang tegas dalam mengawal harga barang sehingga sekarang.
"Persoalannya masalah kita hari ini masalah dasarkah, rakyat tak cukup pahamkah atau, masalah undang undang sehingga harga barang naik?
"Di Putrajaya ini mereka bincang apa? Rakyat dulu mahu Akta Lompat Parti, hingga sekarang tak buat. Apa masalah sebenarnya?
"Kita cuba cari kat mana punca masalah ini. Kalau tidak kita bersidang semula. Tak selesai sidang kita turun ke jalan raya," katanya.
Beliau juga meminta rakyat menilai bagaimanakah kerajaan menilai kehidupan rakyat Malaysia.
Adakah dengan menilai kemajuan dan apa yang dinikmati golongan kaya ataukah kebajikan golongan miskin.
"Adakah dasar ekonomi hari ini adil? Kalau adil dia mesti membela orang miskin yang tertindas. Nak nilai sejahtera atau tidak kerajaan bukan nilai orang kaya tetapi nilai sejahtera orang miskin.
"Pada pandangan saya pendekatan yang betul kena bincang. Bincang secara keluarga tengok apa sebenarnya yang boleh dicapai. Kerajaan perlu berperanan, usahawan berperanan, NGO berperanan dan kena ada formula yang terbaik bentuk kerajaan yang adil kepada yang miskin," katanya lagi.