
Oleh: Abdullah Zaid
Wanita KEADILAN diseru untuk tidak mengambil pendekatan politik fitnah dan perkauman dalam memenangi hati rakyat.
Menerusi ucapan kongres Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad perlu dijadikan ikhtibar buat parti itu untuk tidak mengulangi sikap yang sama.
"Sebagai pemimpin wanita saya cukup bangga apabila wanita terpilih sebagai wakil rakyat, namun saya cukup malu apabila ada pemimpin wanita yang mengelar dirinya ‘doktor’ keliru dengan nama Lim dan Lee.
"Beliau secara terang-terangan memutar pelitkan fakta demi meraih sokongan," katanya dalam perbahasan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) berlangsung, hari ini.
Untuk rekod, Siti Mastura Muhammad dikenakan undang-undang oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng atas dakwaan menuduh pemimpin DAP itu memiliki hubungan keluarga dengan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew dan pemimpin komunis Chin Peng pada 10 November lalu.
Sehingga kini, wakil rakyat Pas itu sudah menerima empat laporan polis berhubung tuduhan tersebut dan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
Justeru, bagi memastikan peranan wanita dalam pembangunan negara dilaksana, Ginie menyeru ahli jentera wanita parti itu mencontohi gaya kepimpinan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memberikan beberapa sumbangan besar antaranya skim i-Suri sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, skim yang diwujudkan khas untuk suri rumah itu telah memberi banyak manfaat kepada golongan wanita.
"Dalam Belanjawan 2024 had caruman i-Suri telah ditingkatkan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM300 setahun bagi memanfaat lebih 400 ribu wanita suri rumah yang berdaftar di bawah e-kasih.
"Justeru, ahli wanita KEADILAN perlu mencontohi sikap sebegitu," ujarnya.
Comentários