top of page

Wakil KEADILAN diterima kedutaan AS serah memorandum tuntut Israel bebas tawanan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

Kamil berucap di tengah hujan sebelum memasuki bangunan Kedutaan AS untuk menyerahkan memorandum
Kamil berucap di tengah hujan sebelum memasuki bangunan Kedutaan AS untuk menyerahkan memorandum

Wakil dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) petang ini diterima masuk ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum dan maklumat tuntutan parti politik dan NGO Malaysia berhubung penawanan 15 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera laut Israel.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim menyatakan hal itu dalam ucapannya pada Himpunan solidariti GSF di Jalan Tun Razak selepas solat Jumaat.


"Kedutaan AS memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk menerima memorandum kita pada petang ini.


"Selain itu mereka juga bersedia untuk mendengar tuntutan kita. Saya dan Dr Maszlee Malik, kami berdua sahaja dibenar untuk masuk bertemu dengan wakil Kedutaan AS.


"Saya akan menerangkan memorandum dari NGO dan pihak kita," katanya.


Penyerahan memorandum itu merupakan satu kejayaan berikutan pihak Kedutaan AS tidak bersedia menerimanya pada himpunan yang diadakan petang semalam.


Sebaik sahaja memorandum tersebut berjaya diserahkan pada pukul 3.40 petang dalam satu sidang media berhampiran Kedutaan AS, Kamil berkata, memorandum yang diserahkan hari ini dijamin akan segera dihantar ke Washington untuk dimaklumkan kepada pihak Kerajaan AS.


"Saya diberi jaminan sebentar tadi, hari ini pihak kedutaan akan menyampaikan memorandum kita terus kepada Washington untuk memaklumkan tentang sentimen dan juga tuntutan rakyat negara kita," katanya.


Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan tidak dimaklumkan perkembangan terkini sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Israel.


"Kita tidak dimaklumkan secara spesifik keberadaan mereka tetapi kita telah menyatakan tuntutan kita dengan jelas. Yang pertama berkenaan pembebasan segera dan itu sedang dilakukan oleh pihak AS.


"Tuntutan kita untuk memastikan bahawa mereka yang datang melalui jalan laut ini (GSF), untuk menghantar bantuan dan bekalan perubatan dibenarkan (berlabuh di Gaza), dan tidak ada pelanggaran yang sewenangnya oleh pihak rejim Zionis terhadap undang undang antarabangsa," katanya lagi.


Antara intipati memorandum yang dihantar pada petang ini adalah menuntut pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan antarabangsa tanpa syarat; Amerika Syarikat mesti menghentikan sokongan politik, kewangan, dan ketenteraan yang membolehkan Israel terus menindas rakyat Palestin.


Selain itu, pihak AS sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB wajib menegakkan undang-undang antarabangsa, bukan melindungi pelanggarannya; Amerika Syarikat mesti menyokong usaha akauntabiliti yang konkrit melalui mekanisme antarabangsa, termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Israel.


Juga AS mesti menyokong usaha global untuk menamatkan sekatan Gaza, menghentikan penjajahan dan rampasan tanah, serta memulihkan hak dan maruah rakyat Palestin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page