Wakil dagang Henan pelawa Selangor teroka pasaran halal di China
- Suara Keadilan
- Jul 4
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengambil pendekatan proaktif dalam memperluas jaringan perdagangan antarabangsa, khususnya menerusi industri halal yang semakin mendapat tempat di pasaran global.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memaklumkan wakil perdagangan China Muslim Daerah Henan, China telah mempelawa Kerajaan Negeri untuk meneroka potensi pemasaran di wilayah itu.
"Saya menerima kunjungan hormat daripada wakil perdagangan China Muslim Daerah Hernan, saudara Salleh Yusuf dan rakan strategik mereka di Malaysia, Azizi Azizan.
"Kami berbincang tentang potensi besar kerjasama dalam pelbagai sektor halal termasuk makanan, kosmetik dan perubatan, selaras dengan permintaan industri halal yang terus berkembang pesat," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Saifuddin menjelaskan, pertemuan susulan lawatannya ke Pameran Food & Drinks Malaysia (FDM) oleh SIAL 2025 yang diadakan di MiTec Kuala Lumpur pada Rabu.
Pameran yang menghimpunkan lebih 450 peserta dari lebih 25 negara itu dilihat sebagai medan penting Selangor mempromosi ekosistem halal dan memikat pelabur asing.
Untuk rekod, Malaysia sedang meninjau peluang di pasaran pesat membangun, termasuk China dalam mengembangkan industri halal pada tahun ini.
Industri halal Malaysia terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan nilai pasaran yang melonjak sebanyak 7.7% pada tahun 2024, mencecah angka RM146.6 bilion.
Selangor dilapor menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) halal negara, didorong sokongan kerajaan negeri melalui pembangunan kluster halal dan program pemerkasaan PKS.
Sementara itu Saifuddin dalam kenyataannya melahirkan keyakinan bahawa diplomasi ekonomi akan memperkukuh kedudukan Selangor dalam landskap perdagangan global.
Kesefahaman awal dari pertemuan bersama wakil perdagangan China Muslim Daerah Henan bakal membuka lebih banyak ruang kerjasama untuk memperkukuh hubungan dagang Selangor–Henan serta wilayah lain di China.
"Pada akhirnya, dunia ini begitu luas untuk kita terokai bagi menikmati kepelbagaian dan kebersamaan," katanya.
Comentarios