WADAH kecam fitnah, salahguna doa ketika himpunan pembangkang
- Suara Keadilan
- Jul 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin demonstrasi ‘Turun Anwar’ di ibu negara minggu lalu yang disifatkan mencemarkan maruah Islam serta menyemai perpecahan umat.
Timbalan Presiden WADAH, Hasri Harun (gambar) menegaskan, terdapat dua pelanggaran besar berlaku dalam himpunan tersebut iaitu penyalahgunaan Qunut Nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan tuduhan qazaf oleh pengasas Parti Bumiputera Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali.
"Bacaan Qunut Nazilah yang dipimpin oleh Zulkifli dalam perhimpunan itu menyimpang daripada tujuan asal yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
"Qunut Nazilah seharusnya dibaca dalam konteks musibah besar seperti peperangan atau penindasan terhadap umat Islam.
"Menggunakannya untuk mendoakan keburukan terhadap pemimpin Muslim atas perbezaan politik merupakan satu penyelewengan terhadap maksud sebenar syariat, mencemarkan kesucian doa dan melahirkan budaya laknat yang memecah belahkan ukhuwah," katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu sebagai mengulas tuduhan qazaf Ibrahim Ali terhadap Perdana Menteri tanpa membawa empat saksi seperti yang ditetapkan hukum Islam, Hasri mengingatkan bahawa ia merupakan dosa besar.
"Tuduhan qazaf bukan sahaja melanggar etika dan hukum syarak, ia mencerminkan kejahilan dan keangkuhan dalam wacana politik terbuka," tegasnya.
Sehubungan itu, WADAH menyeru agar semua pihak berhenti menyalahgunakan doa atau melempar tuduhan sewenangnya untuk menjatuhkan maruah seseorang hanya kerana perbezaan pandangan politik.
"Politik Islam bukan medan maki hamun atau fitnah murahan. Kembalilah kepada jalan wasatiyyah, suburkan hikmah dan bina perpaduan dalam kalangan umat," tambahnya.
Comments