top of page

WADAH dukung usaha PM Anwar capai keamanan Asia Barat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 17
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu hati dan bersolidariti bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan keamanan Asia Barat dan Palestin.


Setiausaha Agung WADAH Azizudin Ahmad berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian tegas Anwar pada Sidang Kemuncak Kecemasan Arab-Islam di Doha yang menyifatkan serangan udara Israel ke atas Qatar sebagai barbarik, tidak berperikemanusiaan serta mencabul kedaulatan negara berdaulat.


"WADAH berpandangan, serangan ini bukan sahaja ancaman kepada Qatar, bahkan serangan kepada seluruh umat dan prinsip keamanan antarabangsa," kata pertubuhan itu dalam kenyataan.


Sidang Kemuncak tersebut turut dihadiri pemimpin negara-negara Islam termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Palestin, Mahmud Abbas; dan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein.


Sementara itu, WADAH dalam kenyataannya menyeru negara-negara Islam berjiran dengan rejim Zionis supaya bertindak secara kolektif memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.


Negara-negara Islam juga tegasnya perlu menghentikan segala bentuk perdagangan dengan rejim Zionis serta menyegerakan penempatan pasukan tentera pendamai antarabangsa ke Gaza.


"WADAH turut menyokong misi kemanusiaan termasuk Global Sumud Flotilla yang melibatkan jaringan WADAH melalui Global Peace Mission (GPM).


"Kami juga menyeru dunia Islam supaya menggunakan tekanan politik dan ekonomi untuk mendesak pengiktirafan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," tambahnya.


Anwar dalam ucapannya pada Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh semalam menegaskan, Dunia Islam perlu terus kuat dalam mendepani kekejaman dan kezaliman Zionis Israel yang menindas rakyat Palestin.


Dunia Islam tegasnya perlu membina seluruh kekuatan dalam mengukuhkan ekonomi, pertahanan dan perjuangan agama supaya tidak sesekali ditindas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page